Wanita Rohingya hanyut berpaut pada papan diselamatkan nelayan

LANGKAWI — Seorang wanita etnik Rohingya ditemukan hanyut di laut dengan berpaut pada dua keping papan berhampiran perairan Tanjung Belua, di sini pada Sabtu lalu.
Mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 40-an itu diselamatkan oleh seorang nelayan tempatan, Muhd Azham Azmi, 34, ketika keluar menangkap ikan bersama dua rakannya kira-kira jam 6.50 petang.
Menurut Muhd Azham, dia pada mulanya menyangka objek berwarna merah yang terapung di laut itu hanyalah sampah, namun terkejut apabila mendapati ia adalah seorang wanita yang tidak bergerak dan kelihatan terlalu lemah untuk meminta tolong.
“Saya nampak objek merah terapung, bila kami dekati, rupa-rupanya seorang wanita berpaut pada papan. Dia tidak menjerit, mungkin terlalu lemah.
"Kami terus angkat dia ke dalam bot dan beri minum serta kek, tapi dia hanya minum sedikit-sedikit. Kami juga beri selimut dan biarkan dia berehat,” katanya semasa ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Menghulu di sini pada Selasa.
Tambahnya, wanita itu cuba berkomunikasi tetapi mereka tidak memahami bahasa yang digunakan
Bagaimanapun katanya, mangsa kemudiannya memberi isyarat supaya dihantar ke daratan.
“Dia terapung kira-kira dua batu nautika dari daratan, tetapi kawasan itu berbatu dan berbahaya untuk naik. Tiada barangan lain ditemui bersama mangsa,” ujarnya.
Muhd Azham kemudiannya menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan mangsa dibawa oleh pihak berkuasa kira-kira setengah jam kemudian.
Dia percaya wanita itu merupakan salah seorang daripada migran yang menaiki bot yang karam ketika cuba memasuki perairan negara.
“Kami belum tahu tentang insiden bot karam ketika itu, dan keadaan semakin gelap. Kami juga tidak nampak mangsa lain di kawasan sekitar,” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan seramai 13 Pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemukan hidup di perairan Langkawi sejak Sabtu.
Bagaimanapun, 12 lagi termasuk dua kanak-kanak ditemui telah meninggal dunia di perairan Malaysia, manakala sembilan lagi mayat dijumpai oleh pihak berkuasa Thailand di perairan negara jiran.
Ringkasan AI
- Seorang wanita etnik Rohingya ditemukan hanyut di laut berhampiran Tanjung Belua, Langkawi
- Diselamatkan oleh nelayan tempatan, Muhd Azham Azmi, yang menyangka objek terapung itu sampah
- Wanita tersebut kelihatan lemah dan hanya mampu minum sedikit-sedikit ketika diselamatkan
- Diyakini sebagai salah seorang migran dari bot yang karam cuba memasuki perairan negara
- Seramai 13 Pendatang Asing Tanpa Izin hidup ditemukan di perairan Langkawi, 12 lagi ditemui meninggal di perairan Malaysia dan 9 mayat di Thailand
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

