'Rugi banyak tahun kerana pergaduhan politik' - Anwar

Anwar (kiri) semasa sesi mesra Perdana Menteri bersama Persatuan Industri Sabah di Kota Kinabalu.
Anwar (kiri) semasa sesi mesra Perdana Menteri bersama Persatuan Industri Sabah di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sudah tiba masanya semua pihak menghentikan budaya 'gaduh-gaduh politik' yang hanya menguntungkan segelintir individu, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, perbalahan politik yang berpanjangan sejak sekian lama telah banyak merugikan negara serta menjejaskan keupayaan kerajaan untuk menumpukan perhatian kepada dasar pembangunan ekonomi yang mampan.

"Kita sudah rugi banyak tahun, gaduh-gaduh politik tidak habis, rugi, tapi yang untung tiga, empat orang. Yang bising itu banyak kaya-kaya.

"Yang kita nak tolong ini orang meniaga dan rakyat kita. Itu fokus kita," katanya ketika berucap sempena sesi mesra Perdana Menteri bersama Persatuan Industri Sabah di sini pada malam Sabtu.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Anwar berkata, Malaysia kini berada pada tahap di mana kekuatan ekonomi perlu menjadi keutamaan kerajaan, bukannya perebutan kuasa yang melemahkan kestabilan pentadbiran.

"Fokus kita mesti menguatkan ekonomi kita. Tiada siapa bantu kita, orang hormat kita sebab negara ini aman, sebab dasar kita kuat," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah penting bagi memastikan setiap dasar pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan, tanpa diganggu kepentingan politik sempit.

"Orang datang hormat kita sebab negara ini aman, dia hormat kita sebab polisi kita kuat, kita tahu bagaimanapun politik kita, negeri, pilihan raya Sabah, masalah negeri, masalah kaum.

Artikel Berkaitan:

"Tapi dia tahu fokus kita dalam keadaan kerajaan Persekutuan, fokus saya dan rakan-rakan saya. Saudara Hajiji dan rakan-rakan di Sabah, fokus kita adalah untuk memastikan negara ini berjaya sebagai sebuah negara besar dengan ekonomi yang kuat," katanya.

Anwar berkata, beliau tidak mahu perbezaan pandangan antara kerajaan negeri dan pusat dijadikan alasan untuk menimbulkan pergeseran politik.

"Kalau kita mahu berjaya dalam ekonomi, kita kena berkawan semua. Bukan kita bersetuju semua. Kita berkawan, umpamanya sama-sama dalam jemaah menteri, Tengku Zafrul ada sini, saya bukan setuju semua dengan dia, banyak setuju lah.

"Dengan saudara Hajiji, kadang-kadang dia buat kenyataan, saya kurang setuju tapi inilah realitinya, kita lain ada sikit-sikit beza, tapi yang kita sepakat apa? Apa yang kita fokus, selamatkan negara ini," ujarnya.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam hubungan baik antara kerajaan pusat dan Sabah.

"Saya bukan mahu curi balak Sabah. Tanya Hajiji, ada saya minta balak? Tak ada. Ada saya minta tanah? Tak ada. Ada saya minta kontrak? Tak ada. Saya datang untuk bekerja bersama," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan rakyat Sabah agar memilih pemimpin yang mampu bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi memastikan dasar pembangunan berjalan lancar dan manfaatnya sampai kepada rakyat.

"Kita perlukan sokongan semua negeri. Kita perlukan Sabah, dan Sabah perlukan kerajaan Persekutuan yang bekerjasama. Kamu nak gaduh boleh gaduh, tapi orang bawah susah. Pilih orang yang bawa kerjasama, bukan yang suka cari gaduh," katanya.

Beliau dalam pada itu turut memberi peringatan kepada mana-mana pemimpin agar tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.

“Kalau mahu kaya, mahu curi duit, jangan jadi pemimpin. Hentikan, selagi saya jadi Perdana Menteri, saya tidak akan bertolak ansur dengan penyalahgunaan kuasa. Kuasa mesti digunakan untuk tadbir dengan baik dan lindungi rakyat,” katanya.

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru penghentian budaya gaduh politik untuk fokus memperkukuh ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat
  • Beliau menyatakan perbalahan politik telah banyak merugikan negara dan mengalihkan fokus dari pembangunan ekonomi yang mampan
  • Anwar Ibrahim menekankan kekuatan ekonomi sebagai keutamaan kerajaan daripada perebutan kuasa yang melemahkan kestabilan pentadbiran
  • Hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah ditegaskan sebagai penting untuk pelaksanaan dasar pembangunan tanpa gangguan kepentingan politik sempit
  • Anwar Ibrahim memperingatkan pemimpin agar tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi dan menekankan penggunaan kuasa untuk tadbir dan lindungi rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!