Remaja 14 tahun ulang-alik Melaka-KL setiap minggu demi rawatan leukemia

MELAKA - Setiap minggu, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun perlu berulang-alik dari Melaka ke Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur bagi menjalani pemeriksaan darah susulan penyakit leukemia yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.
Ibunya, Noraslinda Abd Raman, 44, berkata, anaknya, Nur Aimi Zuhairah Muhamad Hafidz, sebelum ini telah bebas daripada kanser darah itu pada Oktober 2024 selepas menderita penyakit berkenaan selama setahun, namun tidak sampai lima bulan, penyakit itu kembali menyerang pada Mac 2025.

Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik itu kini sedang menunggu janji temu rawatan akhir untuk proses penukaran darah yang masih belum ditetapkan tarikhnya oleh doktor.
“Sepanjang tempoh rawatan dua tahun itu, doktor bagi cuti sekolah dulu sebab sistem imun dia lemah, masanya banyak habis berulang-alik ke hospital.
“Cuma bila dia dah bebas kanser pada Februari lalu, dia hanya pergi sekolah sehari, tidak dapat teruskan pembelajaran kerana tak larat,” ujarnya.
Baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menziarahi Nur Aimi di rumah keluarga di Kampung Pulau, Durian Tunggal sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Suri rumah itu berkata, keadaan kesihatan anaknya yang tidak seperti kanak-kanak lain menyebabkan dia dan suami perlu lebih kuat serta sentiasa memberikan sokongan moral agar anak mereka kekal positif.
“Bila masuk hospital, duduk wad semua budak ada sakit kanser. Kita nampaklah perjalanan mereka, ada yang keluar masuk dan ada juga yang tak dapat diselamatkan.
“Dia ada tanya, kalau rawatan akhir nanti tak sembuh, dah tak ada ubat lagi kan? Saya pujuk dia, saya cakap hidup mati ALLAH SWT yang tentukan, bukan doktor. Saya minta dia kuat dan percaya pada takdir,” katanya.
Dalam pada itu, Noraslinda berkata, Nur Aimi pernah menyatakan keinginan untuk bercuti ke Langkawi, namun permintaan itu terpaksa ditangguhkan kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Selain itu, katanya, keinginan tersebut juga ditangguhkan kerana mahu anaknya menumpukan perhatian kepada rawatan, di samping faktor kewangan yang perlu mengutamakan kepada kos rawatan.
“Dia kata nak sangat pergi Langkawi, tapi saya cakap sabarlah dulu. Bila dah sihat nanti, insya-Allah kita pergi.
“Saya cuma nak dia sihat, dapat pergi sekolah dan berkawan. Sekarang dia banyak masa di rumah saja, dan kawan-kawannya hanyalah adik-beradiknya,” ujarnya.

Sementara itu, dia berkata, kos keseluruhan rawatan anaknya mencecah RM123,000, namun setakat ini hanya RM30,000 berjaya dibiayai manakala selebihnya masih belum dilunaskan.
“Sekarang ini saya tengah cari dana sebab baki masih berhutang dengan hospital. Doktor pun kata yang penting rawatan dulu, soal bayaran boleh diurus kemudian.
“Saya juga ada buat hebahan di media sosial untuk mengumpul dana bagi menampung kos ubatan khas seperti Blincyto 35mcg (Blinatumomab) yang digunakan oleh pesakit leukemia dan harganya bergantung pada jumlah botol diperlukan,” katanya.
Orang awam yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB 7027047480 atas nama Noraslinda Abd Raman.
Ringkasan AI
- Remaja perempuan berusia 14 tahun dari Melaka perlu berulang-alik ke HTA Kuala Lumpur untuk pemeriksaan darah akibat leukemia
- Leukemia kembali menyerang selepas lima bulan bebas dari kanser
- Menunggu janji temu rawatan akhir untuk proses penukaran darah
- Keluarga berusaha keras memberi sokongan moral dan kekuatan
- Kos rawatan mencecah RM123,000 dengan hanya RM30,000 berjaya dibiayai setakat ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

