Lima sekeluarga didakwa culik remaja 16 tahun dibenar ikat jamin

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan permohonan jaminan lima sekeluarga yang didakwa menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada April lalu.
Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan jaminan kesemua tertuduh iaitu D Sasveena, 31; T Boharaj, 32; Farhin Muhamad Ariffin, 23; serta dua beradik, PK Koshenn Kumar, 21; dan PK Siveeshinaa, 23.
Peguam yang mewakili kesemua tertuduh, T Harpal Singh memaklumkan Mahkamah Tinggi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Mahkamah turut menetapkan lima syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Tertuduh juga tidak dibenarkan keluar dari daerah tanpa kebenaran mahkamah, perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan dan dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.
Prosiding dijalankan di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas mahkamah menerima keputusan semakan terhadap permohonan jaminan yang difailkan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan niat bersama untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah salun rambut di Uptown Avenue, Seremban 2 pada 10 April lalu.
Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara antara 30 hingga 40 tahun serta dikenakan sebatan.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos depan sebagai tarikh serahan dokumen seterusnya.
Media sebelum ini melaporkan polis menembak mati seorang lelaki di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan tersebut.
Berikutan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 31 tahun di sekitar Jalan Tiara Sendayan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

