ATM nafi dakwaan Malaysia 'musuh dalam selimut’

Mohd Nizam
Mohd Nizam
A
A
A

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas pegawai tentera Thailand yang menuduh Malaysia bertindak sebagai musuh dalam selimut dalam proses keamanan antara negara itu dan Kemboja.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, menegaskan tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah bersifat jahat serta memperlekehkan usaha murni Malaysia dalam memulihkan keamanan di sempadan kedua-dua negara.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mejar Jeneral (Bersara) Rangsi Kitiyansap jelas menunjukkan salah faham terhadap prinsip sentraliti ASEAN dan mengabaikan kerangka kerjasama yang telah dipersetujui oleh semua negara anggota.

"Tuduhan seperti ini amat mengecewakan, lebih-lebih lagi datang daripada bekas pegawai kanan tentera.

"Ia bukan sahaja mencemar semangat profesionalisme, malah menjejaskan prinsip saling menghormati antara institusi ketenteraan di rantau ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, Malaysia tidak pernah mempunyai sebarang niat tersembunyi atau kepentingan politik dalam proses perdamaian berkenaan.

"Sebaliknya, segala inisiatif dijalankan atas dasar tanggungjawab serantau dan komitmen terhadap keamanan ASEAN.

"Perjanjian Kuala Lumpur yang dimeterai pada 26 Oktober 2025 merupakan hasil usaha bersama Thailand dan Kemboja di bawah pemantauan ASEAN, bukan hasil campur tangan pihak luar seperti yang didakwa," katanya.

Menurutnya, dokumen rasmi perjanjian itu telus dan disahkan oleh semua kerajaan yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

"Ia hanya memfokuskan kepada keamanan, keselamatan dan kerjasama kemanusiaan, menuduh Malaysia bertindak di luar kerangka itu adalah perbuatan berniat jahat dan mengelirukan.

"Peranan Malaysia hanyalah sebagai fasilitator bagi membantu kedua-dua negara mencapai gencatan senjata dan memastikan pelaksanaan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) serta Pasukan Pemerhati Interim Tambahan (IOT) berjalan dengan lancar," katanya.

Jelasnya, Malaysia tidak mencari pengiktirafan atau pujian, tujuan hanyalah memastikan kestabilan dikembalikan, nyawa dilindungi dan keamanan dapat dipelihara untuk rakyat di kedua-dua belah sempadan.

"ATM kekal neutral dan profesional dalam setiap misi keamanan di rantau ini sebagaimana penglibatan Malaysia di Mindanao, Timor-Leste dan Lubnan sebelum ini.

"Dari dulu hingga kini, Angkatan Tentera Malaysia berpegang pada prinsip bahawa keamanan dicapai melalui persefahaman dan kerjasama, bukan melalui tuduhan dan politik perpecahan," katanya.

Mohd Nizam turut menasihatkan mana-mana pihak agar tidak mempolitikkan proses damai yang sedang berjalan serta menghormati usaha yang telah dilakukan oleh semua pihak.

"Menuduh pemimpin lain sebagai pengkhianat tanpa bukti bukan sahaja memalukan yang dituduh.

"Malah ia turut menjatuhkan maruah penuduh itu sendiri, keamanan memerlukan kesabaran, keberanian moral dan keikhlasan," katanya.

Mohd Nizam turut menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan perjanjian itu kini menunjukkan kemajuan positif di lapangan dengan pengunduran senjata berat, operasi nyah periuk api yang sedang dijalankan dan komuniti sempadan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

"Inilah bukti kejayaan sebenar, bukan suara-suara sumbang yang cuba menimbulkan keraguan terhadap peranan Malaysia.

"Malaysia akan terus komited terhadap penyelesaian yang dipimpin ASEAN, menghormati kedaulatan negara anggota serta memastikan pelaksanaan semua perjanjian damai dijalankan dengan penuh ketelusan," katanya.

Tambah beliau, Malaysia kekal sebagai rakan serantau yang boleh dipercayai dan berprinsip dalam memperjuangkan keamanan serta kestabilan di Asia Tenggara.

 

Ringkasan AI

  • Angkatan Tentera Malaysia menafikan dakwaan bekas pegawai tentera Thailand tentang peranan Malaysia sebagai musuh dalam selimut
  • Panglima ATM menegaskan tuduhan tersebut tidak berasas dan merendahkan usaha Malaysia dalam memulihkan keamanan sempadan
  • Kenyataan bekas pegawai Thailand itu salah faham prinsip sentraliti ASEAN
  • Malaysia bertindak sebagai fasilitator dalam proses perdamaian antara Thailand dan Kemboja, bukan pengganggu
  • Malaysia komited kepada penyelesaian yang dipimpin ASEAN dan menghormati kedaulatan negara anggota

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!