Sorok senjata dalam guni buru komunis

Johnny menunjukkan galeri berkaitan pengalaman beliau dalam ATM. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Johnny menunjukkan galeri berkaitan pengalaman beliau dalam ATM. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Once a soldier, always a soldier.” Itu kata-kata semangat perjuangan dipegang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berbangsa Cina, Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng.

Menurutnya, antara kenangan paling bermakna adalah persahabatan yang terjalin bersama rakan seperjuangan.

“Ikatan persahabatan itu bukan boleh diukur dengan wang. Kami melalui susah senang bersama dan semangat itu kekal sampai bila-bila.

“Setiap pengalaman di medan operasi banyak mengajar erti pengorbanan dan nilai setia kawan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Setiap kali keluar operasi, kami sedar kemungkinan tidak akan kembali. Namun semangat untuk melindungi tanah air mengatasi segala rasa takut,” katanya kepada Sinar Harian.

Menceritakan pengalamannya sepanjang menyarung seragam ATM, kata Komandan Maktab Ketahanan Nasional (NRC) itu, beliau pernah ditugaskan dalam operasi memburu askar Parti Komunis Kalimantan Utara (NKCP) di Sarawak menerusi Op Serampang pada tahun 1989.

Kata Johnny, sorok senjata api dalam guni, tidak memakai uniform ATM, menaiki kenderaan pacuan empat roda atau menumpang lori balak antara cabaran yang diharunginya.

“Tindakan itu adalah salah satu taktik mengaburi mata pihak musuh.

“Kita turut beroperasi di kem balak di Tatau dan Bintulu, Sarawak,” kongsinya.

Artikel Berkaitan:

Johnny berkata, beliau bersama rakan sepasukan berjaya menjumpai food dump iaitu tempat di mana pengganas komunis menanam dan menyimpan bekalan makanan atau peluru serta senjata di dalam hutan.

Johnny bersama rakan sepasukan ATM yang terlibat dalam Special Ops.
Johnny bersama rakan sepasukan ATM yang terlibat dalam Special Ops.

Katanya, ilmu penyamaran itu diperoleh ketika menyertai kursus taktik dan teknik pengganas komunis yang dianjurkan oleh 91 Rejimen Khas Perisikan Tempur di Batu Gajah, Perak.

“Individu yang mengajar pada ketika itu ialah bekas komunis yang telah menyerahkan diri dikenali sebagai Bobby dan Robson.

“Mereka mengajar kita cara tipu helah ketika operasi di dalam hutan serta membuat food dump dan mengenal pasti lokasi jerangkap samar komunis,” ceritanya.

Antara pengalaman tidak dapat dilupakan anak kelahiran Melaka itu ialah ketika operasi menjejak kem komunis Flower Garden di sempadan Malaysia-Thailand pada Mac hingga April 1987.

“Satu batalion telah diatur gerak masuk ke dalam hutan dan kita dipecahkan ke beberapa kumpulan.

“Beberapa rakan sepasukan lain turut melaksanakan serang hendap terhadap musuh,” jelasnya.

Johnny berkata, laluan di dalam hutan pada ketika itu terlalu bahaya kerana dipenuhi jerangkap samar.

“Saya sedih melihat ramai rakan sepasukan cedera dan terkorban akibat terkena jerangkap samar,” luahnya.

Bakti 41 tahun

Pegawai kanan Rejimen Renjer Diraja itu telah menabur bakti selama 41 tahun sejak menyertai ATM pada tahun 1984.

“Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan St Francis, Melaka, kemudian di Sekolah Menengah Kebangsaan St Francis, sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Tentera Diraja,” katanya.

Johnny berkata, minat beliau terhadap ketenteraan bermula di zaman sekolah melalui Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM).

“PKBM banyak memberi pendedahan awal tentang disiplin dan kepimpinan,” ujarnya.

Johnny (kiri) ketika terlibat dalam operasi di Sarawak.
Johnny (kiri) ketika terlibat dalam operasi di Sarawak.

Menurutnya, keputusan menyertai tentera pada waktu itu bukanlah mudah, apatah lagi ketika negara masih berdepan ancaman komunis.

“Ibu pada awalnya membantah kerana bimbang keselamatan saya namun ayah dan datuk menjadi pendorong utama serta memberi semangat.

“Bila saya sudah pilih jalan ini, mereka pesan buatlah tugas dengan penuh tanggungjawab. Itu yang saya pegang hingga kini,” tambahnya.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, beliau dipilih melanjutkan pengajian dan latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom kemudian ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada Disember 1986.

“Unit pertama saya adalah Batalion Ke-2 Rejimen Renjer Diraja di Kem Majidee, Johor Bahru,” kongsinya.

Mengimbas detik peribadi, Johnny turut menzahirkan rasa terharu terhadap sokongan rakan sepasukan ketika isterinya meninggal dunia akibat strok dua tahun lalu.

“Saya sedih atas pemergian isteri yang banyak memberi dorongan, mendiang seorang wanita yang baik dan memahami tugas anggota tentera,” luah beliau.

Johnny pernah memegang pelbagai jawatan termasuk Komander Batalion, Ketua Staf Briged dan Pangilma Briged di Sarawak.

“Saya mahu generasi muda mengetahui bahawa kejayaan kerjaya dalam ATM bukan ditentukan oleh latar belakang tetapi usaha dan kelayakan,” jelasnya.

Dalam kerjayanya, beliau turut menjalani latihan dan kursus di luar negara termasuk di Australia dan Korea Selatan serta memiliki dua ijazah sarjana.

Ringkasan AI

  • Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng menganggap persahabatan yang terjalin ketika bertugas sebagai kenangan paling bermakna
  • Beliau mempunyai pengalaman dalam operasi memburu askar Parti Komunis Kalimantan Utara di Sarawak pada tahun 1989
  • Mendalami ilmu penyamaran dalam kursus taktik dan teknik pengganas komunis yang diajar oleh bekas komunis
  • Memenangi pengalaman berharga ketika menjejak kem komunis Flower Garden di sempadan Malaysia-Thailand pada tahun 1987
  • Berbakti selama 41 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia sejak bergabung pada tahun 1984

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!