Dua wanita ditahan disyaki menyamar pegawai kanan polis

Dua 'pegawai kanan polis' wanita yang dicekup pada Rabu lalu selepas cuba menipu pasangan kekasih kononnya ditahan atas kesalahan khalwat.
Dua 'pegawai kanan polis' wanita yang dicekup pada Rabu lalu selepas cuba menipu pasangan kekasih kononnya ditahan atas kesalahan khalwat.
A
A
A

KUANTAN- Polis Kuantan berjaya menumpaskan sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai kanan polis berikutan penahanan dua wanita dalam Ops Puyuh di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 36 tahun itu diberkas di sebuah rumah di daerah ini susulan laporan dibuat pasangan kekasih yang 'ditahan' kononnya atas kesalahan khalwat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek yang bekerja sendiri itu menemui pasangan berusia dalam lingkungan 20-an dengan menyamar sebagai pegawai kanan polis berpangkat Deputi Komisioner sambil mengemukakan dokumen palsu kononnya mangsa terlibat dalam kes khalwat.

"Mangsa diminta membuat sejumlah pembayaran ke akaun milik suspek kononnya untuk menyelesaikan kes berkenaan.

"Siasatan turut mendapati suspek menggunakan aplikasi ChatGPT untuk menghasilkan surat palsu berlogo pihak berkuasa dengan menggunakan nama seorang pegawai kanan polis yang tidak wujud," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Ashari berkata, surat itu kemudian disunting oleh seorang lagi suspek menggunakan komputer riba untuk menambah tanda tangan palsu bagi tujuan penipuan

"Susulan penahanan suspek itu, polis menemui dan merampas sebuah komputer riba dan telefon bimbit yang disyaki digunakan wanita terbabit.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya terhadap mana-mana individu yang mengaku sebagai pegawai kerajaan atau polis tanpa pengesahan sahih.

Artikel Berkaitan:

"Saya tegaskan di sini, tiada sebarang bayaran atau transaksi wang dibenarkan untuk menyelesaikan kes atau siasatan.

"Sebarang maklumat mengenai kes seumpama ini boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-505 2222," katanya.

Ringkasan AI

  • Polis Kuantan menumpaskan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai kanan polis dengan menahan dua wanita
  • Kedua-dua wanita tersebut berusia 30 dan 36 tahun
  • Suspek menyamar sebagai pegawai polis dengan pangkat Deputi Komisioner dan menggunakan dokumen palsu
  • Mangsa diminta membuat pembayaran ke akaun suspek untuk menyelesaikan kes khalwat
  • Polis merampas komputer riba dan telefon bimbit dari suspek dan mereka ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!