Pekerja gaji bawah RM1,550 di Jakarta nikmati pengangkutan awam percuma

JAKARTA – Pekerja sektor swasta di Jakarta yang berpendapatan di bawah 6.2 juta rupiah (RM1,550) sebulan kini boleh menikmati perkhidmatan awam secara percuma.
Mereka layak untuk menaiki bas Transjakarta, tren Transit Laju Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).
Inisiatif itu diperkenalkan menerusi Peraturan Gabenor (Pergub) Nombor 33 Tahun 2025 mengenai Pemberian Perkhidmatan Pengangkutan Awam Massa Percuma, yang memperluas manfaat kemudahan ini kepada pekerja swasta selepas pelajar, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Ketua Jabatan Pengangkutan Jakarta, Syafrin Liputo berkata, hanya pekerja yang memiliki Kad Pekerja Jakarta (KPJ) dengan pendapatan tidak melebihi 1.15 kali Gaji Minimum Wilayah (UMP) layak menikmati kemudahan tersebut.
“Bagaimanapun, proses pendaftaran dan pengesahan akan dijalankan secara berkala bagi memastikan subsidi disalurkan kepada pihak yang layak," katanya.
Sementara itu, Gabenor DKI Jakarta, Pramono Anung memberitahu, dasar ini bertujuan memperluas akses masyarakat terhadap pengangkutan awam, selain menggalakkan peralihan kepada mod perjalanan yang lebih mesra alam dan mampan.
“Ia diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian serta membantu menangani masalah kesesakan lalu lintas di Jakarta,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Pekerja sektor swasta di Jakarta dengan pendapatan di bawah 6.2 juta rupiah sebulan boleh menikmati perkhidmatan awam secara percuma
- Mereka layak menggunakan bas Transjakarta, MRT dan LRT
- Inisiatif ini memperluas manfaat kepada pekerja swasta selepas pelajar, warga emas dan golongan OKU
- Pekerja yang berpendapatan tidak melebihi 1.15 kali Gaji Minimum Wilayah dengan Kad Pekerja Jakarta layak mendapat kemudahan ini
- Inisiatif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan kesesakan lalu lintas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

