Covid-19: Kedah beri rebat 50 peratus sewa premis

A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memberi rebat 50 peratus untuk sewaan premis niaga pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi membantu golongan terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rebat berkenaan melibatkan pelbagai jenis premis niaga seperti lot-lot niaga, gerai, medan selera dan lain-lain di bawah PBT.

Menurutnya, pihaknya memutuskan rebat berkenaan diberikan untuk tempoh tiga bulan bermula bulan ini hingga Mei depan kepada individu terbabit berdasarkan keputusan mesyuarat Exco.

"Selain itu, keputusan mesyuarat Exco hari ini memutuskan untuk memberikan rebat sebanyak 50 peratus sewa premis niaga PBT selama tiga bulan bermula Mac hingga Mei nanti.

"Kita juga turut memperincikan waktu operasi untuk premis di Kedah seperti kedai-kedai, pasar raya, stesen minyak hinggalah kepada farmasi," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mukhriz berkata, kebanyakan premis perniagaan seperti pasar raya dan kedai makan di Kedah ditetapkan untuk membuka operasi perniagaan mereka sehingga jam 8 malam sahaja kecuali kedai serbaneka dan stesen minyak yang ditetapkan untuk tutup pada jam 10 malam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, perkhidmatan diperlukan khususnya sektor bekalan makan diharapkan beroperasi seperti biasa tetapi perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

Mukhriz berkata, tindakan berkenaan perlu dipatuhi bagi memastikan bekalan makanan tidak berkurang dan menampung kekurangan bekalan makanan import yang mungkin akan terjejas ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya sedang mencari kaedah untuk membekalkan bekalan barangan kepada penduduk seperti ikan tanpa melanggar PKP misalnya pelantar ikan dikerumuni peraih untuk mengambil ikan untuk dijual.

"Kita sedang berbincang dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan-persatuan nelayan untuk memikirkan apa kaedah terbaik bagi membolehkan ikan dibekalkan," katanya.

Menurutnya, bekalan ikan didapati murah untuk setiap sekilogram kira-kira tiga minggu lepas hingga pernah mencecah 80 sen per kilogram (kg) namun kini ia mencecah belasan ringgit.

"Keadaan ini bukanlah bermakna ikan tidak banyak di laut, sebaliknya disebabkan kerana bekalan tidak mencukupi. Jadi, kita akan mencari kaedah bagaimana bekalan akan sampai kepada pengguna. Sama juga seperti sayur, kita akan lihat apa caranya supaya sistem penyampaian dipermudahkan," katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya turut merasakan penoreh getah wajar dibenarkan masuk ke ladang getah untuk mencari rezeki memandangkan hanya mereka seorang berada di kawasan itu.

"Susulan itu, arahan telah dikeluarkan agar pemborong atau kedai yang membeli getah dibuka bagi membolehkan penoreh dapat terus membekalkan sekerap dan meraih pendapatan," katanya.

Katanya, pihaknya turut meminta supaya kementerian terbabit tidak menyekat operasi kilang-kilang menghasilkan barangan pembungkusan makanan bagi membolehkan bekalan makanan seperti roti dibekalkan untuk rakyat.