Tiada bukti Rom belajar bina kapal daripada orang Melayu - Pakar sejarah

Wan Ramli
Wan Ramli
A
A
A

SHAH ALAM – Tiada sebarang bukti arkeologi atau catatan sejarah yang menunjukkan tamadun Rom kuno mempelajari teknik pembuatan kapal daripada orang Melayu.

Pakar Sejarah Teknologi Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, persamaan antara kaedah pembuatan kapal orang Rom dengan orang Melayu hanyalah kebetulan dan bukan hasil pengaruh langsung atau pertukaran teknologi.

Menurutnya, memang benar cara orang Rom purba membuat kapal hampir sama dengan orang Melayu iaitu membina badan kapal dahulu sebelum membuat kun atau kung (rangka) dan papan badan kapal diikat menggunakan cemat kayu.

"Namun selepas abad pertama Masihi, orang Rom beralih kepada cara membina kun/kung terlebih dahulu sebelum membina badan kapal.

"Malah, kebanyakan bangsa purba lain seperti orang Viking dan Phoenicia juga menggunakan kaedah sama iaitu membuat badan kapal dahulu dan diikat dengan cemat kayu," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Solehah Yaacob mendakwa, teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.

Ujar Solehah, kepakaran orang Melayu dalam bidang maritim dan pembinaan kapal telah bermula sejak era kerajaan Funan dan berkembang pesat di Alam Melayu, sebelum mempengaruhi tamadun luar termasuk Rom kuno.

Menurutnya lagi, pengaruh Fenisia turut mendorong kepada perkembangan teknologi maritim nusantara, terutama dari segi kemahiran pembinaan kapal.

Mengulas lanjut, Wan Ramli berkata, tiada bukti bahawa bangsa-bangsa tersebut diajar oleh orang Melayu dalam hal pembinaan kapal, sebaliknya persamaan itu lebih tepat dianggap sebagai hasil 'penemuan berbilang' atau 'ciptaan serentak'.

Artikel Berkaitan:

"Fenomena itu menunjukkan bahawa pembangunan teknologi tidak semestinya berpunca daripada satu budaya tertentu, sebaliknya boleh berlaku secara serentak apabila manusia menghadapi keperluan dan keadaan persekitaran yang hampir sama," ujarnya.

Tambah beliau, kaedah membuat badan kapal terlebih dahulu dan mengikatnya dengan cemat kayu sebelum membina rangka adalah antara contoh terbaik fenomena ‘ciptaan serentak’ yang direkodkan dalam sejarah teknologi.

Ringkasan AI

  • Tiada bukti arkeologi atau sejarah tamadun Rom belajar buat kapal dari orang Melayu
  • Persamaan teknik pembuatan kapal antara Rom dan Melayu adalah kebetulan
  • Dakwaan teknik Rom dipelajari dari Melayu tidak disokong oleh bukti
  • Fenomena 'ciptaan serentak' menerangkan persamaan dalam teknologi pembuatan kapal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!