UIAM tegaskan kenyataan ahli akademik bersifat peribadi

GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menegaskan bahawa pandangan seorang ahli akademik dari Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman (AHAS KIRKHS) adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi universiti itu.
Melalui kenyataan dikeluarkan Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UIAM, pihak universiti menyedari mengenai video yang tular di media sosial berkaitan ahli akademik berkenaan yang telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan menimbulkan kekeliruan umum.
Menurutnya, pengurusan universiti memandang serius dan kesal terhadap tindakan ahli akademik terbabit yang sekali lagi menjejaskan integriti akademik serta imej universiti sebagai sebuah institusi keilmuan berwibawa walaupun teguran telah pun diberi sebelum ini.
"UIAM ingin menegaskan bahawa pandangan dan kenyataan yang dibuat oleh ahli akademik tersebut adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi UIAM.
"Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UIAM sentiasa mendukung prinsip kebebasan akademik yang membolehkan para sarjana berkongsi pandangan, menjalankan penyelidikan dan menyumbang kepada wacana ilmiah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, Persatuan Kakitangan Akademik (ASA) UIAM menggesa pihak pengurusan universiti itu mengambil tindakan segera dan sewajarnya terhadap seorang ahli akademik yang didakwa melanggar piawaian etika, profesionalisme dan integriti akademik.
Walaupun tidak menamakan secara langsung nama ahli akademik dimaksudkan, gesaan itu hadir selepas satu lagi kenyataan kontroversi melibatkan seorang pensyarah wanita dari universiti berkenaan.
Terdahulu, tular video syarahan pensyarah tersebut di saluran YouTube yang mendakwa teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.
UIAM juga menekankan bahawa setiap kenyataan awam hendaklah dibuat dengan penuh tanggungjawab, berpaksikan ketepatan ilmiah serta selaras dengan kepiawaian bidang.
Justeru, UIAM sedang meneliti kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh ahli akademik tersebut secara dalaman mengikut tatacara sedia ada dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil penelitian itu.
Dalam masa sama, UIAM turut menzahirkan komitmen berterusan untuk mengekalkan integriti akademik dan kepercayaan masyarakat terhadap universiti berkenaan.
"UIAM percaya bahawa keseimbangan antara kebebasan akademik dan tanggungjawab ilmiah amat penting bagi menjamin kredibiliti dunia akademik," jelasnya.
UIAM komited untuk terus memastikan integriti dan kualiti pendidikan serta kesarjanaan dalam kalangan ahli akademik terpelihara.
Universiti itu juga menegaskan bahawa tanggungjawab besar ahli akademik adalah untuk mendidik masyarakat dengan ilmu yang autentik dan berfakta.
Ringkasan AI
- UIAM menyatakan pandangan ahli akademik AbdulHamid AbuSulayman adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili universiti
- Video yang tular di media sosial telah mengundang kekeliruan dan kecaman terhadap integriti dan imej UIAM
- Pengurusan UIAM menegaskan komitmen mereka terhadap kebebasan akademik dan tanggungjawab ilmiah
- Persatuan Kakitangan Akademik UIAM mendesak tindakan terhadap ahli akademik yang didakwa langgar etika akademik
- UIAM sedang meneliti isu ini secara dalaman dan akan mengambil tindakan sewajarnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

