Malaysia desak laluan selamat bagi bantuan kemanusiaan di Sudan

Malaysia menyeru semua pihak di Sudan menjamin penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan memastikan keselamatan penduduk di wilayah konflik Darfur. Foto AFP
Malaysia menyeru semua pihak di Sudan menjamin penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan dan memastikan keselamatan penduduk di wilayah konflik Darfur. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak terlibat perlu memberi jaminan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa rintangan dan ancaman keselamatan, termasuk memastikan kewujudan koridor bagi penyaluran bekalan ke semua kawasan terjejas di Sudan.

Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kesengsaraan yang dihadapi orang awam ketika ini.

Menurut kenyataan tersebut, Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat supaya mengawal diri dan mematuhi sepenuhnya kewajipan mereka untuk melindungi nyawa serta mengelakkan kemusnahan prasarana awam.

“Malaysia menzahirkan kebimbangan serius terhadap krisis keselamatan dan kemanusiaan yang semakin memburuk di Sudan, terutamanya konflik sengit di wilayah Darfur.

“Laporan mengenai kekejaman, pembunuhan beramai-ramai dan perpindahan besar-besaran amat membimbangkan.

“Pencabulan terhadap hak-hak kemanusiaan ini merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Justeru, Wisma Putra menegaskan bahawa Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan komited menyokong semua usaha serantau serta antarabangsa bagi mengembalikan keamanan, kestabilan dan keselamatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya segala bentuk keganasan di Sudan dihentikan serta-merta susulan tragedi kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah El Fasher dan seluruh Darfur.

Anwar berpandangan, insiden di Sudan ketika ini merupakan bencana kemanusiaan yang amat membimbangkan dunia.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan, laporan mengenai kekejaman yang mungkin dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, malah genosid, tidak boleh diterima sama sekali.

Keganasan di El Fasher, ibu negeri Darfur Utara, kini disifatkan sebagai antara tragedi kemanusiaan paling dahsyat di Sudan sejak perang saudara meletus pada 2023.

Pasukan Rapid Support Forces (RSF) dilaporkan menawan bandar itu selepas pertempuran sengit dengan tentera kerajaan Sudan, menyebabkan ribuan penduduk terkorban dan puluhan ribu lagi terpaksa melarikan diri.

Saksi melaporkan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, selain kemusnahan besar terhadap hospital, sekolah serta kem pelarian.

Laporan daripada Al Jazeera dan Human Rights Watch turut mendedahkan bahawa selepas penguasaan RSF, berlakunya siri kekejaman termasuk serangan ke atas rumah penduduk, penculikan serta rogol beramai-ramai.

Mangsa yang terselamat mendakwa kumpulan bersenjata menyasarkan etnik tertentu, khususnya masyarakat Zaghawa yang dianggap menyokong tentera kerajaan.

Ringkasan AI

  • Semua pihak terlibat harus memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Sudan tanpa rintangan
  • Malaysia menyeru agar semua pihak menjaga diri dan melindungi nyawa serta infrastruktur umum
  • Krisis kemanusiaan di Sudan, terutama di Darfur, semakin memburuk dengan laporan kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai
  • Malaysia komited menyokong usaha mengembalikan keamanan dan kestabilan di Sudan
  • Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa penghentian segera segala bentuk keganasan di Sudan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!