Kerajaan disaran sekat pergerakan keluar masuk selama 30 hari

A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari lagi.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan perlu melaksanakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar atau lockdown secara keseluruhan bagi mengekang sepenuhnya penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, ia berikutan ramai ingkar arahan PKP, malah setiap hari terdapat penambahan pesakit yang kemudiannya berkemungkinan menjangkiti orang lain pula.

Menurutnya, mereka yang dijangkiti pula hanya akan mengetahui mereka mengalami simptom wabak terbabit dalam masa 14 hari.

“Saya syorkan kerajaan laksana perintah ‘lockdown’ selama 30 hari sebagai langkah drastik membendung wabak itu. Apabila dilaksanakan, hanya mereka yang betul-betul ada keperluan sahaja boleh berada di luar rumah.

“Kita boleh lihat ketika PKP dilaksanakan, motosikal berkeliaran atas jalan raya, ‘ah so’ selamba boleh bersembang di pasar pagi tanpa rasa bimbang. Justeru, kerajaan perlu laksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Chee Heng berkata, bagaimanapun sebelum dilaksanakan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengenalpasti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil masyarakat atau pemimpin kawasan di satu-satu kawasan bagi tujuan agihan bantuan kepada golongan memerlukan.

Katanya, apabila semuanya sudah dikenal pasti, perintah sekatan boleh segera dilaksanakan dan penurunan kes seterusnya sifar kes akan direkodkan.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang adalah masa untuk rakyat bersatu melawan Covid-19. Kalau sekadar laksanakan PKP mungkin sampai sambutan Hari Raya Aidilfitri pun wabak itu masih merebak.

“Saya tahu peniaga resah, namun selepas 30 hari ‘lockdown’, kita boleh mulakan hidup baharu semula,” katanya.