P-hailing wajar terima manfaat BUDI95 seperti e-hailing

MELAKA - Sektor p-hailing wajar diberikan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95), sama seperti pemandu e-hailing memandangkan komuniti penghantar turut bergantung kepada bahan api dalam menjalankan tugasan harian.
Setiausaha Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Kamarulzaman Ahmad berkata, setakat ini ramai penghantar masih belum menerima manfaat BUDI95 beroperasi sepenuh masa.
Menurutnya, pengumuman BUDI95 kepada sektor e-hailing dilihat sebagai satu langkah positif ke arah penambahbaikan subsidi bersasar.

“Jadi, kami berharap pelaksanaan peringkat seterusnya akan turut melibatkan golongan p-hailing.
“P-hailing berdepan cabaran yang hampir sama dengan e-hailing, termasuk kos bahan api, penyelenggaraan motosikal dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya lagi, kuota 300 liter sedia ada merupakan hak individu dan apabila digunakan untuk kerja, penghantar kerugian penggunaan kuota individu mereka.
Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan skim kelayakan berperingkat bagi inisiatif BUDI95 khusus untuk pemandu e-hailing, yang akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan.
Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa langkah tersebut merupakan sebahagian daripada penambahbaikan dalam usaha memastikan pelaksanaan subsidi bersasar yang lebih saksama dan inklusif, demi memelihara mata pencarian pemandu e-hailing.
Menurut MoF, tahap kelayakan siling bulanan BUDI95 bergantung kepada jumlah jarak perjalanan.
Ringkasan AI
- Sektor p-hailing wajar diberikan inisiatif Budi Madani RON95 sama seperti pemandu e-hailing
- Ramai penghantar belum menerima manfaat BUDI95 beroperasi sepenuh masa
- BUDI95 kepada sektor e-hailing dilihat sebagai langkah positif ke arah penambahbaikan subsidi bersasar
- Harapan agar pelaksanaan peringkat seterusnya akan turut melibatkan golongan p-hailing
- P-hailing berdepan cabaran sama seperti e-hailing termasuk kos bahan api dan penyelenggaraan motosikal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


