'Afdal sekalikan kajian pilihan raya Datuk Bandar KL dengan UEC' - Liyana Marzuki

Kerajaan didesak untuk turut menjalankan kajian mengenai pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serentak dengan kajian pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dilapor sedang dilakukan. Gambar kecil: Liyana Marzuki
Kerajaan didesak untuk turut menjalankan kajian mengenai pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serentak dengan kajian pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dilapor sedang dilakukan. Gambar kecil: Liyana Marzuki
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan didesak untuk turut menjalankan kajian mengenai pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serentak dengan kajian pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dilapor sedang dilakukan.

Aktivis politik yang juga bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki berkata, kajian mengenai UEC itu untuk menilai kepentingannya kepada negara berbilang kaum dan bangsa.

“Afdal juga kalau sedang buat kajian untuk pilihan raya Datuk Bandar, sekalikan dengan kajian UEC. Apa kepentingan untuk negara berbilang kaum dan bangsa?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP dilapor berkata, kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun perkara tersebut menimbulkan kontroversi apabila dikritik dan ditolak oleh beberapa pemimpin termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Susulan itu, Hannah menjelaskan, cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT berkenaan bukan dilaksanakan oleh DAP, sebaliknya dijalankan universiti awam (UA) terkemuka iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kata beliau, kajian terbabit dijalankan sejak Disember lalu di bawah bekas menteri yang menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Sebelum ini juga, cadangan pengiktirafan UEC menimbulkan polemik apabila dibahtah ramai pihak selepas Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilapor akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan mengenai perkara itu.

Namun, polemik itu sedikit reda apabila Anwar pada 12 Disember lalu dilapor berkata, sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari turut menggesa supaya kajian menyeluruh terhadap sistem UEC dilakukan.

Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli

“Menteri Wilayah kata kajian untuk buat plihan raya datuk bandar akan dilaksanakan oleh ahli akademik dan bukannya DAP, apa nak takut katanya.

“Jika begitu, saya nak cadangkan kajian menyeluruh terhadap sistem UEC, kedudukannya dalam perlembagaan dan kesannya kepada dasar pendidikan kebangsaan dilaksanakan oleh ahli-ahli akademik berpengalaman,” ujarnya.

Beliau menegaskan, kerajaan boleh memilih mana-mana universiti untuk melaksanakan kajian tersebut dengan penglibatan ahli-ahli akademik yang diiktiraf dalam bidang berkaitan.

“Bukan parti politik buat kajian ini, apa nak takut kan? Realitinya bukan isu kajian, isunya ialah kecenderungan politik yang telah diketahui sejak lama,” bidasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!