FMM sambut baik penambahbaikan faedah EIS, tekankan kelestarian dana jangka panjang

Kenyataan yang dikongsi FMM pada Rabu.
Kenyataan yang dikongsi FMM pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik pembentangan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 oleh Menteri Sumber Manusia untuk bacaan pertama di Parlimen pada Selasa.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, langkah itu merupakan satu perkembangan penting ke arah memperkukuh kerangka perlindungan sosial negara di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) yang ditadbir oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut beliau, cadangan penambahbaikan yang dikemukakan termasuk peningkatan siling yuran latihan daripada RM4,000 kepada RM7,000, elaun latihan harian sebanyak RM30, serta peningkatan kadar elaun pencarian kerja awal daripada 25 peratus kepada 50 peratus daripada elaun pencarian kerja yang belum dibayar.

Ujarnya, langkah berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh dasar pasaran buruh aktif bagi menggalakkan peningkatan kemahiran dan padanan pekerjaan, khususnya dalam sektor baharu dan berimpak tinggi.

“FMM melihat penambahbaikan ini secara positif kerana ia melengkapi usaha industri membangunkan tenaga kerja Malaysia yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pengenalan Elaun Bantuan Mobiliti turut disifatkan sebagai inisiatif yang tepat pada masanya untuk menyokong perpindahan tenaga kerja bagi tujuan pekerjaan, sekali gus meningkatkan mobiliti buruh dan mengatasi ketidaksepadanan struktur pasaran kerja.

Bagaimanapun, katanya, peluasan program berkenaan perlu disertai dengan disiplin kewangan kukuh, tadbir urus baik dan impak yang dapat dibuktikan.

“Setiap ringgit yang disalurkan melalui EIS mesti diterjemahkan kepada peningkatan kebolehpasaran dan penempatan pekerjaan yang mampan, bukan sekadar penyertaan dalam latihan semata-mata,” ujarnya.

Thian Lai turut menyeru supaya pemantauan ketat dan kebertanggungjawaban dilaksanakan dalam pengagihan dana latihan bagi mengelak ketirisan atau penyalahgunaan, selain disokong dengan sistem pelaporan berasaskan hasil yang telus.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menggesa supaya kerangka pembiayaan latihan menggunakan pendekatan berasaskan hasil yang jelas, memastikan sumber disalurkan kepada program yang sejajar dengan keperluan industri dan permintaan pasaran serta memberi hasil penempatan pekerjaan yang boleh diukur.

“Walaupun peluasan faedah merupakan langkah positif untuk pekerja, kelestarian jangka panjang Dana EIS tidak boleh dikompromi,” ujarnya.

Menurutnya, sebarang penambahbaikan perlu disokong dengan penilaian aktuari yang kukuh dan pengurusan kewangan berhemat bagi mengelak peningkatan beban kos kepada majikan dan pekerja pada masa depan.

Tambahnya, memandangkan majikan di Malaysia sudah menyumbang kepada pelbagai skim statutori dan keselamatan sosial, sebarang pertimbangan untuk menaikkan kadar caruman perlu dilakukan dengan berhati-hati selepas rundingan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

Katanya, pertimbangan itu juga perlu mengambil kira daya saing perniagaan, tekanan kos dan ketahanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“FMM menegaskan bahawa reformasi perlindungan sosial mesti mencapai keseimbangan antara memperkukuh sokongan kepada pekerja serta mengekalkan daya saing dan kapasiti penciptaan pekerjaan negara,” ujarnya.

Jelasnya, FMM akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia dan PERKESO bagi memastikan reformasi EIS menghasilkan keputusan pekerjaan yang bermakna, mengekalkan standard tertinggi tadbir urus dan pengurusan dana, serta memastikan model mampan yang menyokong majikan dan pekerja dalam menghadapi perubahan pesat pasaran buruh negara.

Ringkasan AI

  • Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik pembentangan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025
  • Cadangan penambahbaikan termasuk peningkatan siling yuran latihan, elaun latihan harian, dan kadar elaun pencarian kerja
  • Pengenalan Elaun Bantuan Mobiliti untuk menyokong perpindahan tenaga kerja dan meningkatkan mobiliti buruh
  • FMM menekankan pentingnya pengagihan dana latihan yang telus dan berasaskan hasil untuk menjamin peningkatan kebolehpasaran pekerja
  • Kelestarian Dana EIS tidak boleh dikompromi, perlukan penilaian aktuari yang kukuh dan pengurusan kewangan berhemat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!