Pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan kukuh jaminan sosial
![Cadangan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 [Akta 800] dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, dilihat mampu memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk pekerja Malaysia. Gambar hiasan (Gambar kecil: Syed Hussain)](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2025/11/07/3332969.webp)
PETALING JAYA - Cadangan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 [Akta 800] dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, dilihat mampu memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk pekerja Malaysia.
Pindaan terbaharu terhadap Akta 800 memperkenalkan beberapa penambahbaikan penting bagi melindungi pekerja khususnya ketika berdepan kehilangan pekerjaan dan proses peralihan kerjaya termasuklah elaun mencari pekerjaan lebih tinggi, tempoh faedah lebih panjang dan insentif penggajian semula.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, penambahbaikan tersebut menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam meningkatkan kebajikan pekerja serta memupuk tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan mudah menyesuaikan diri.
“Penambahbaikan terhadap faedah di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) terbabit amat tepat pada masanya dan bersifat progresif.
"Dengan menyediakan sokongan pendapatan lebih kukuh serta bantuan penggajian semula lebih berkesan, sistem itu membantu pekerja pulih lebih cepat daripada kehilangan pekerjaan serta mengurangkan gangguan sosial dan ekonomi akibat pengangguran,” katanya.
Jelasnya, pindaan itu selaras dengan usaha memperkukuh landskap perlindungan sosial negara, khususnya selepas pelaksanaan perlindungan keselamatan sosial 24 jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang meluaskan perlindungan kepada pekerja di luar waktu bekerja.
"MEF menyokong penambahbaikan faedah di bawah EIS kerana ia melengkapi reformasi lain yang bertujuan meningkatkan perlindungan tenaga kerja dan kebolehpasaran," ujarnya lagi.
Beliau menyifatkan, langkah terbabit mampu meningkatkan keyakinan dalam kalangan pekerja dan majikan serta menyokong pasaran buruh yang lebih dinamik.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan sistem EIS yang seimbang dan mampan dari segi kewangan supaya tidak membebankan majikan dengan kos tambahan.
"Ketika kita menambah baik faedah untuk pekerja, sama penting untuk memastikan EIS kekal berdaya tahan secara kewangan serta tidak menjejaskan daya saing perniagaan," menurut Syed Hussain.
EIS dikendalikan oleh PERKESO mula diperkenalkan pada tahun 2018 bagi menyediakan bantuan penggantian pendapatan dan perkhidmatan pekerjaan kepada pekerja Malaysia yang kehilangan kerja.
Dengan pindaan dicadangkan, Akta 800 dijangka menawarkan perlindungan lebih kukuh, adil dan berwawasan selaras dengan keperluan pasaran kerja negara yang semakin berkembang.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Sekretariat MEF di talian 03-7498 7200 atau emel mef-hq@mef.org.my.
Ringkasan AI
- Cadangan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 bertujuan memperkuat jaringan keselamatan sosial pekerja Malaysia
- Pindaan mencakupi elaun mencari pekerjaan lebih tinggi, tempoh faedah lebih panjang, dan insentif penggajian semula
- Penambahbaikan menunjukkan komitmen kerajaan meningkatkan kebajikan pekerja dan tenaga kerja yang berdaya tahan
- Sistem Insurans Pekerjaan membantu pekerja pulih cepat dari kehilangan pekerjaan dan mengurangkan gangguan sosial
- EIS diharapkan berdaya tahan secara kewangan dan tidak membebankan majikan dengan kos tambahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

