Hospital Pengajar USIM di Nilai wajar dibina, sokongan latihan berkualiti pelajar perubatan

Laporan Sinar Harian pada 7 November lalu.
Laporan Sinar Harian pada 7 November lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sesuai dan wajar dibina di Nilai, Negeri Sembilan bagi memastikan keberkesanan latihan klinikal pelajar perubatan dan penghasilan doktor yang kompeten pada masa hadapan.

Profesor di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar hospital berkenaan dikembalikan ke Nilai.

"Seruan ini disandarkan kepada faktor logistik dan keperluan rakyat Negeri Sembilan. Saya amat menghargai keprihatinan beliau terhadap kesejahteraan masyarakat.

"Selain dari faktor logistik, sebagai ahli akademik dan pendidik dalam bidang perubatan, saya turut menzahirkan kebimbangan yang serius dari sudut pendidikan perubatan, penghasilan doktor yang selamat serta kompeten," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan Aminuddin sekali lagi memohon pertimbangan kerajaan Persekutuan untuk membina hospital pengajar di lokasi berdekatan kampus universiti di Nilai.

Ia berikutan USIM sendiri berpusat di Nilai dan tapak projek untuk hospital itu telah dikenalpasti.

Selain itu, penduduk di kawasan Nilai turut dilaporkan memerlukan sebuah hospital kerajaan memandangkan jumlah kawasan perumahan semakin bertambah dan mereka terpaksa menjalani jauh sekiranya berlaku kes kecemasan.

Dr Rafidah menjelaskan, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) menetapkan bahawa sebuah hospital pengajar perlu mempunyai nisbah sekurang-kurangnya empat katil bagi setiap doktor pelatih (4:1) bagi menjamin pendedahan klinikal yang mencukupi.

Katanya, nisbah itu menjadi penanda aras kepada kemampuan sesebuah hospital menampung jumlah pelajar dan menyediakan kes yang mencukupi untuk proses pembelajaran klinikal.

Artikel Berkaitan:

"Bilangan katil bukan sekadar angka fizikal, tetapi penentu kepada kecukupan kes sebenar yang boleh dilihat, diperiksa dan dibincangkan oleh pelajar.

"Tanpa bilangan katil yang mencukupi, pelajar akan menghadapi kesukaran mendapatkan pengalaman klinikal yang pelbagai terutama dalam disiplin utama seperti perubatan dalaman, pembedahan, pediatrik, obstetrik dan ginekologi," ujarnya lagi.

Beliau memberi contoh, Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menetapkan nisbah dua katil bagi setiap pelajar (2:1) bagi memastikan latihan klinikal optimum, dengan sokongan Hospital Sultanah Zahirah yang lengkap dengan kepakaran.

Menurutnya, Hospital Pengajar USIM dirancang dibina di Kota Tinggi, namun hospital sedia ada adalah sebuah hospital daerah tanpa perkhidmatan kepakaran.

"Ketiadaan kepakaran inilah yang menjadikannya tidak sesuai untuk menampung keperluan pengajaran klinikal pelajar perubatan USIM, terutama bagi latihan kepakaran dan pengurusan kes-kes yang kompleks.

"Kes-kes komplikasi akan dirujuk ke hospital besar yang lain. Ini mendatangkan kerugian kepada pelajar untuk mempelajari kes sebegini," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mendapati, terdapat pihak menyamakan situasi USIM dengan universiti lain seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang hospital pengajarnya terletak jauh dari kampus utama.

Dr Rafidah menegaskan, perbandingan ini kurang tepat kerana kedua-dua hospital tersebut disokong oleh hospital negeri yang lengkap dengan kepakaran dan kemudahan moden iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan dan Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu.

Tambah beliau lagi, Nilai merupakan lokasi paling sesuai dan strategik kerana berdekatan dengan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, hospital rujukan negeri dengan pelbagai kepakaran.

“Populasi Nilai mencecah 119,613 orang, hampir dua kali ganda lebih ramai berbanding Kota Tinggi (sekitar 60,000 orang). Ini bermakna terdapat lebih banyak variasi kes klinikal untuk pelajar belajar, memerhati dan menganalisis,” katanya.

Beliau menambah, kawasan cadangan tapak di gugusan Felda pula mungkin tidak dapat menyediakan kepelbagaian kes obstetrik, ginekologi dan pediatrik kerana komuniti Felda kini didominasi oleh populasi berusia, bukan keluarga muda.

Jelasnya lagi, hospital pengajar bukan sekadar projek fizikal atau pemangkin ekonomi setempat, sebaliknya teras utama kepada jaminan kualiti latihan doktor masa hadapan.

“Pandangan bahawa hospital pengajar wajar ditempatkan di kawasan luar bandar untuk merancakkan pembangunan adalah kurang tepat sekiranya ia menjejaskan fungsi akademik dan latihan klinikal.

“Keutamaan harus diberikan kepada fungsi pendidikan dan keselamatan pesakit agar pelajar dapat menjalani latihan komprehensif berasaskan kepelbagaian kes sebenar,” ujarnya.

Beliau berharap pelaburan besar negara dalam projek Hospital Pengajar USIM perlu dimanfaatkan sebaiknya kerana Nilai bukan sahaja strategik dari segi logistik, tetapi juga memenuhi prasyarat akademik dan klinikal.

Ringkasan AI

  • Hospital Pengajar USIM disarankan dibina di Nilai untuk keberkesanan latihan klinikal pelajar perubatan
  • Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar menzahirkan penghargaan kepada cadangan pembinaan hospital di Nilai berdasarkan faktor logistik dan keperluan rakyat
  • Pembinaan hospital di Nilai penting untuk memastikan nisbah pelajar dan katil yang mencukupi demi latihan klinikal yang berkualiti
  • Nilai dipilih sebagai lokasi hospital pengajar yang strategik berdasarkan kepadatan penduduk dan kepelbagaian kes klinikal, selain berdekatan dengan hospital rujukan negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!