Negeri Sembilan akur pilihan raya serentak jika telah diputuskan - Aminuddin

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akur sekiranya pimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengadakan pilihan raya serentak bagi Persekutuan dan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu perlu dibincangkan dan diputuskan bersama oleh semua pimpinan parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan kesan besar terhadap landskap politik negara.

“Saya harap perkara ini dapat dibincangkan bersama semua presiden parti dalam Kerajaan Perpaduan terlebih dahulu supaya kita boleh mencapai kata putus bersama.

“Ia juga bagi memastikan keputusan itu tidak memberi kesan besar kepada politik tanah air kerana ada pihak yang mahu ia diadakan serentak dan ada yang tidak bersetuju.

“Jadi, sebaiknya perkara ini dibincangkan terlebih dahulu sebelum dibawa kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan 2025 di sini pada Selasa.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, sekiranya Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan secara serentak dan lebih awal daripada jangkaan, keputusan berkenaan perlu dimaklumkan segera supaya persediaan rapi dapat dilakukan.

Beliau turut mengakui bahawa perkara tersebut bukan satu perkara mudah dan disebabkan itu perlu dibincangkan serta diputuskan segera.

“Kalau nak buat serentak, kita kena kerja kuatlah bermula sekarang kerana itu bermakna pilihan raya akan diadakan lebih awal.

“Jadi sebaiknya kita tahu lebih awal supaya proses pilihan raya dapat dijalankan dengan lancar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin menambah, buat masa ini beliau masih belum dipanggil oleh Perdana Menteri untuk membincangkan perkara tersebut dan bersedia untuk memberikan pandangan.

“Cepat atau lambat, pilihan raya tetap akan diadakan dan saya sempat berbisik dengan Datuk Seri Jalaluddin Alias (Pengerusi UMNO Negeri Sembilan) bahawa kita perlu lakukan sesuatu agar kita terus berjaya di Negeri Sembilan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sekali lagi menyatakan pendirian parti itu yang menyokong pelaksanaan pilihan raya serentak pada peringkat Persekutuan dan negeri sebagai langkah memastikan kecekapan serta penjimatan kos pengurusan pilihan raya.

Ujarnya, meskipun keputusan membubarkan Parlimen merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri, DAP sebagai antara parti dominan dalam kerajaan akan memberikan pandangan untuk menyelaras pembubaran, sekiranya pilihan raya serentak mahu dilaksanakan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar pula menegaskan parti itu kekal dengan pendirian menyokong supaya pilihan raya umum dan pilihan raya negeri (PRN) diadakan serentak bagi menjimatkan kos dan memudahkan pengurusan.

Kata beliau, pendirian itu telah disuarakan sejak selepas PRN di empat negeri sebelum ini.

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Negeri Sembilan bersedia untuk pilihan raya serentak jika diputuskan oleh Kerajaan Perpaduan
  • Perkara ini perlu dibincangkan bersama parti PH dan BN untuk kesepakatan
  • Aminuddin Harun meminta agar dibincangkan bersama presiden parti dalam Kerajaan Perpaduan
  • Pengerusi PH Negeri Sembilan menyatakan keputusan pilihan raya serentak harus dimaklumkan awal untuk persediaan
  • DAP dan Amanah menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan pilihan raya serentak untuk kecekapan dan penjimatan kos

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!