Polis buru Namewee berhubung kes kematian wanita Taiwan

KUALA LUMPUR – Polis sedang giat memburu penyanyi rap tempatan, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, berhubung kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan.
Namewee, 42, dipercayai menghilangkan diri selepas kes penemuan mayat wanita terbabit diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya yakin bahawa Namewee sudah mengetahui perkembangan laporan siasatan kes berkenaan melalui laporan media rasmi dan media sosial.
"Setakat ini kita masih belum dapat mengesannya dan percaya dia sudah menghilangkan diri.
"Sebelum ini, kes kematian wanita berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun apabila ia diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dia dipercayai menghilangkan diri," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Untuk rekod, Seksyen 302 Kanun Keseksaan mewajibkan pihak polis melakukan tangkapan ke atas individu yang disyaki bagi membantu siasatan kes bunuh.
Setakat ini, Namewee merupakan individu terakhir yang berada bersama pempengaruh Taiwan, Hsien Yun Hsin, 31, ketika mayatnya ditemui dalam sebuah bilik di Hotel Banyan Tree, Jalan Conlay, di sini pada jam 1.40 petang, 22 Oktober lalu.
Ringkasan AI
- Polis memburu penyanyi rap Namewee berhubung kes kematian pempengaruh wanita Taiwan
- Namewee, 42, dipercayai menghilangkan diri selepas kematian wanita itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh
- Ketua Polis Kuala Lumpur yakin Namewee mengetahui perkembangan siasatan
- Namewee belum dapat dikesan dan dipercayai sudah menghilangkan diri
- Namewee adalah individu terakhir bersama pempengaruh Taiwan, Hsien Yun Hsin, sebelum mayatnya ditemui
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
