Polis mungkin tahan Namewee bantu siasatan kematian pempengaruh Taiwan

KUALA LUMPUR – Polis menjalankan siasatan rapi dari pelbagai sudut berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di Jalan Conlay di sini, termasuk kemungkinan menahan penyanyi rap tempatan, Namewee bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
"Ketika kejadian, penyanyi berusia 42 tahun itu turut berada di dalam bilik hotel berkenaan bersama mangsa.
“Kita akan melihat semua sudut siasatan termasuk pergerakan terakhir mangsa sebelum kejadian. Daripada siasatan yang dijalankan, kita akan tentukan sama ada individu terakhir bersama wanita itu merupakan suspek atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pencegahan Jenayah anjuran bersama Institut Pendidikan Islam Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut Fadil berkata, mangsa, Hsieh Yun Hsin, dilaporkan tiba di negara ini pada 20 Oktober melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijadualkan pulang ke Taiwan pada 24 Oktober lalu.
“Berdasarkan jadual asal, dia sepatutnya berada di sini selama empat hari, namun ditemukan maut pada 22 Oktober,” jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat serta analisis toksikologi bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kita telah memanggil beberapa individu termasuk kakitangan hotel dan pasukan keselamatan di lokasi kejadian. Orang awam yang tahu apa-apa berkaitan kes ini boleh tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari pada 22 Oktober lalu, Hsieh yang juga dikenali sebagai pempengaruh media sosial terkenal Taiwan, ditemukan terbaring dalam bilik mandi di bilik hotel terbabit.
Ringkasan AI
- Polis siasat kematian pempengaruh wanita Taiwan di hotel Jalan Conlay, KL
- Siasatan awal sebagai kematian mengejut kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh
- Penyanyi rap Namewee turut berada di bilik pada masa kejadian
- Mangsa, Hsieh Yun Hsin, sepatutnya di Malaysia dari 20 hingga 24 Oktober tapi ditemukan mati pada 22 Oktober
- Polis menunggu laporan bedah siasat dan toksikologi, seru orang awam yang tahu maklumat kes tampil ke balai polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
