Namewee didakwa dua kes dadah

KUALA LUMPUR – Pemuzik kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan memiliki dan memberikan dadah berbahaya ke dalam badannya, dua minggu lalu.
Wee Meng Chee, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di dua mahkamah dalam prosiding pada 24 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa ada dalam milikannya dadah disyaki jenis Ecstasy dengan anggaran berat 5.12 gram di bilik sebuah hotel di Jalan Conlay di sini pada jam 4.30 petang, 22 Oktober lalu.
Susulan itu, pengarah filem 'Nasi Lemak 2.0' berkenaan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sebatan antara tiga dan sembilan sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberikan diri sendiri dalam badannya, dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carbolic acid (THC) dan Ketamine.
Kesalahan didakwa dilakukan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada jam 7.15 petang, tarikh sama.
Pertuduhan dibuat Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam kes ini, penyanyi rap tersebut diwakili peguam, Joshua Tay.
Tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes dan menetapkan 18 Disember depan untuk laporan kimia.
Ringkasan AI
- Wee Meng Chee atau Namewee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menggunakan dadah
- Dia didakwa memiliki dadah jenis Ecstasy berat 5.12 gram di sebuah hotel di Jalan Conlay
- Pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan sebatan
- Dia juga didakwa memberikan diri sendiri dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, THC, dan Ketamine
- Tertuduh dibenarkan jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes ditangguh hingga 18 Disember untuk laporan kimia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

