[VIDEO] 'Keluarga reda, Jahidah kini ibarat mayat hidup'
SEREMBAN - Melihat keadaan kakaknya yang sudah empat tahun terbaring kaku, Fauziah Nordin, 44, reda bahawa begitulah keadaan kakak sulungnya itu sampai bila-bila.
Akibat menjadi mangsa keganasan bekas suami, Jahidah Nordin, 47, kini ibarat mayat hidup dan paling menyedihkan, dia tidak pernah berpeluang menyentuh serta mendukung anaknya, Eshan Nufail, yang kini berusia tiga tahun lima bulan.

Fauziah yang memikul tanggungjawab sepenuhnya menjaga Jahidah berkata, doktor telah memaklumkan kepada keluarga bahawa keadaan kakaknya itu akan kekal begitu berikutan kecederaan teruk yang dialaminya.
“Doktor beritahu kakak susah nak sembuh kerana dah empat tahun keadaannya begitu, ia sudah agak lama.
“Lagipun kecederaan dialami kakak sangat teruk sehingga otaknya rosak, dan kalau sembuh pun memang satu keajaiban,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, dia dan keluarga tidak lagi meletakkan harapan tinggi, sebaliknya menyerahkan semuanya kepada ALLAH kerana telah menerima takdir Jahidah sedemikian.
Meskipun begitu, ujarnya, Jahidah tidak menghadapi masalah kesihatan lain, namun masih perlu dihantar ke hospital setahun sekali untuk pemeriksaan kesihatan.
“Kami nak dia sembuh, tapi dah lama sangat keadaan dia macam ini. Jadi, kami dah terima semuanya.
“Kalau terlalu berharap sangat, nanti saya pula yang rasa tertekan dan sedih,” katanya.
Fauziah bagaimanapun mengakui pernah berasa terbeban memikul tanggungjawab tersebut kerana bukan mudah menjaga orang sakit.

Namun, suri rumah ini cepat membuang perasaan itu, apatah lagi suami serta ahli keluarganya sentiasa memberi sokongan.
“Tipulah kalau saya cakap saya tiada perasaan itu (rasa terbeban). Tapi saya memandang ujian dan pengorbanan orang lain yang lebih berat.
“Saya fikir, ALLAH nak bagi saya pahala jaga kakak sebenarnya kerana sepanjang usia saya, inilah pertama kali pengalaman saya menjaga orang sakit terlantar,” katanya.
Disebabkan menjaga kakaknya sepenuh masa, Fauziah kini arif dalam soal penjagaan pesakit terlantar.
Katanya, perkara paling penting yang perlu diberi perhatian adalah bahagian belakang pesakit yang mudah mengalami kudis akibat baring terlalu lama.
“Saya belajar dari hospital, petugas perubatan dan dalam talian kerana ini pengalaman pertama saya berdepan dengan pesakit terlantar.
“Malah, disebabkan sering berkongsi keadaan kakak di media sosial, saya dapat ramai kawan baharu yang turut menghulurkan sumbangan,” katanya yang turut menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Berkenaan perkembangan anak Jahidah, Fauziah berkata, Eshan Nufail kini semakin aktif dan sudah lancar berjalan.
Namun katanya, anak saudaranya itu masih perlu menjalani rawatan fisioterapi untuk menguatkan otot dan pergerakannya, di samping menjalani terapi pertuturan.

“Alhamdulillah, Eshan Nufail sihat dan ada beberapa lagi terapi lain yang perlu dijalani bagi mempercepatkan perkembangannya.
“Bila tengok keadaan dia sekarang yang membesar dengan sihat, saya tak pernah terfikir yang dia lahir dari rahim kakak yang koma,” katanya.
Dalam kejadian pada 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma akibat kecederaan parah di kepala, selain rahang, tulang belakang dan rusuk retak akibat dipukul suaminya.
Lebih menyedihkan, ketika kejadian, penjawat awam berkenaan sedang mengandung dan anaknya telah selamat dilahirkan secara pembedahan pada 30 November 2021.
Pada 9 Disember tahun lalu, bekas suaminya dikenakan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana menyebabkan kecederaan parah kepada Jahidah sehingga koma.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

