Pungut derma depan bank, tiga lelaki didenda RM2,000

Penguatkuasa JAINJ menahan tiga lelaki yang memungut derma di hadapan sebuah bank tanpa kebenaran di Kota Tinggi. Foto JAINJ
Penguatkuasa JAINJ menahan tiga lelaki yang memungut derma di hadapan sebuah bank tanpa kebenaran di Kota Tinggi. Foto JAINJ
A
A
A

KOTA TINGGI – Tiga lelaki masing-masing berusia 20-an dan 30-an didenda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Syariah di sini selepas didapati bersalah memungut derma tanpa kebenaran di beberapa lokasi sekitar daerah ini pada Ahad.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan berkata, ketiga-tiga mereka ditahan sepasukan penguat kuasa JAINJ antara jam 5 petang hingga 6.30 petang di hadapan bank di bandar Kota Tinggi dan Bandar Penawar.

Dalam operasi itu, penguat kuasa turut menyita tiga tabung berisi wang tunai berjumlah keseluruhan RM261.90.

Menurut JAINJ, kumpulan tersebut menggunakan alasan kononnya kutipan dibuat bagi tujuan pembangunan anak yatim, pembinaan masjid dan asrama anak yatim di sebuah negeri luar Johor, selain menunjukkan beberapa surat sokongan dan gambar bagi meyakinkan orang ramai.

Namun hasil siasatan mendapati dokumen berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kebenaran mengutip derma di negeri ini.

“Mereka bergerak secara berkumpulan menaiki kereta dan menjadikan sebuah masjid di Johor Bahru sebagai tempat bermalam.

"Beberapa individu lain dipercayai ahli kumpulan sama sempat melarikan diri selepas menyedari kehadiran penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Penguat kuasa JAINJ turut menyita tiga tabung berisi wang tunai berjumlah keseluruhan RM261.90. Foto JAINJ
Penguat kuasa JAINJ turut menyita tiga tabung berisi wang tunai berjumlah keseluruhan RM261.90. Foto JAINJ

Artikel Berkaitan:

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 2003, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau tiga bulan penjara terhadap setiap tertuduh.

Dalam pada itu, JAINJ menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang memohon derma tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

“Zaman teknologi dan kecerdasan buatan (AI) sekarang ini, surat dan tandatangan pun boleh ditiru seperti asal. Jangan cepat percaya,” tegas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kejayaan tangkapan tersebut merupakan hasil kerjasama erat penghulu dan ketua kampung di seluruh daerah Kota Tinggi, selepas satu pertemuan diadakan bersama pihak penguat kuasa minggu lalu.

JAINJ turut menasihati mana-mana pertubuhan anak yatim atau jawatankuasa masjid yang ingin mendapatkan sumbangan supaya membuat permohonan rasmi melalui Pejabat Kadi Daerah untuk disemak dan diluluskan oleh MAIJ.

 

Ringkasan AI

  • Tiga lelaki didenda RM2,000 setiap seorang kerana memungut derma tanpa kebenaran di Kota Tinggi
  • Penguat kuasa JAINJ menyita tiga tabung berisi wang tunai RM261.90
  • Kumpulan ini mengaku kutipan untuk pembangunan anak yatim dan pembinaan masjid di luar Johor
  • Dokumen kutipan mereka didapati tidak sah
  • JAINJ nasihat orang ramai agar berhati-hati terhadap permohonan derma tanpa kebenaran MAIJ

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!