Tiga syarikat didenda RM2.98 juta terlibat kartel tipuan bida lebih RM44 juta

SHAH ALAM – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengeluarkan keputusan pelanggaran terhadap tiga syarikat kontraktor pada Isnin kerana terlibat dalam kartel tipuan bida membabitkan nilai lebih RM44 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail berkata, syarikat terbabit ialah Abadi Malaysia Sdn Bhd, Kota Landskap Sdn Bhd dan Usia Maintenance Sdn Bhd.
Menurutnya, susulan pelanggaran tersebut, MyCC mengenakan denda berjumlah RM2.98 juta ke atas ketiga-tiga syarikat kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712), melibatkan enam tender yang dikeluarkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) antara tahun 2018 hingga 2021.

“MyCC telah menjalankan penilaian awal dan mengenal pasti sembilan perusahaan yang disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida.
“Siasatan penuh kemudiannya dijalankan, termasuk serbuan ke atas premis syarikat terlibat, pengambilan pernyataan daripada 24 individu, permohonan maklumat serta analisis bukti yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Iskandar berkata, hasil siasatan tersebut membawa kepada pengeluaran Keputusan Cadangan terhadap syarikat terlibat pada 10 September 2024, dan MyCC menerima representasi daripada mereka pada 11 November 2024 serta 13 Mac 2025.
“Setelah meneliti representasi tersebut secara menyeluruh, MyCC mendapati syarikat terbabit telah melanggar Akta 712 dan seterusnya mengeluarkan keputusan pelanggaran terhadap syarikat tersebut pada 7 Julai 2025.
“Keputusan pelanggaran ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha berterusan suruhanjaya untuk menegakkan prinsip ketelusan, keadilan dan integriti dalam proses perolehan awam.
“Amalan tipuan bida mencemarkan kepercayaan terhadap pasaran, membazirkan sumber awam dan akhirnya menjejaskan kepentingan orang ramai,” ujarnya.
Beliau turut menggesa semua pemain pasaran agar mengambil iktibar daripada kes ini serta memperbaharui komitmen terhadap amalan perniagaan yang beretika.
“Setiap perniagaan perlu bersaing berdasarkan merit dan bukannya bergantung kepada pakatan sulit semata-mata. Manakala organisasi awam dan swasta pula harus sentiasa berwaspada terhadap tanda-tanda tingkah laku antipersaingan dalam pelaksanaan proses perolehan mereka.
“Kami juga menggesa orang awam serta semua pihak berkepentingan yang mengesan tingkah laku tipuan bida yang mencurigakan untuk tampil ke hadapan dan melaporkan perkara tersebut kepada MyCC,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

