Bekas pembantu perubatan nekad jaga OKU mental

Shohaimi (tiga dari kanan) membuka Rumah Sejahtera sejak 2013.
Shohaimi (tiga dari kanan) membuka Rumah Sejahtera sejak 2013.
A
A
A

TEMERLOH - Prihatin dengan nasib golongan pesakit mental menyebabkan bekas pembantu perubatan nekad membuka pusat penjagaan khas untuk lelaki orang kurang upaya (OKU) mental di daerah ini sejak 2013.

Shohaimi Abdul Latif, 70, yang kali terakhir bertugas di Jabatan Psikiatri Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh membuka Rumah Sejahtera yang terletak di Kampung Lebak di sini.

"Bermula empat ke lima penghuni, kini terdapat 28 penghuni berusia antara 30 hingga 70 tahun, yang dihantar ahli keluarga masing-masing untuk mendapat rawatan dan penjagaan di Rumah Sejahtera.

"Semasa bertugas dahulu, saya banyak melakukan tugasan luar, melawat pesakit dan lihat mereka tidak mendapat penjagaan sewajarnya, terbiar menyebabkan selepas bersara pada 2011 saya terfikir membuka pusat khas sebegini," katanya.

Ujarnya, berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kesihatan, beliau menubuhkan pusat itu membantu golongan pesakit mental menjalani kehidupan lebih teratur.

Jelas anak jati Pahang itu lagi, menggunakan wang simpanan dan pencen sedia ada, beliau sanggup berkorban demi memastikan penghuni mendapat penjagaan dan perhatian sebaik mungkin.

"Kebanyakan penghuni pernah dirawat di hospital tetapi kembali tidak stabil selepas berhenti mengambil ubat atau terabai kerana tiada pengawasan,” jelasnya.

Mengulas cabaran dihadapi, Suhaimi berkata ia bukan hanya berkisar soal kewangan, malah sikap segelintir masyarakat yang masih keliru dan takut terhadap pesakit mental.

“Dulu ada yang bising bila nampak penghuni keluar malam. Alhamdulillah sekarang mereka sudah faham dan tahu mereka tidak berbahaya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, selain beliau, pusat itu memiliki dua kakitangan lain iaitu seorang jururawat dan warden yang membantu dirinya mengendalikan Rumah Sejahtera.

Katanya, rumah itu beroperasi tanpa bantuan tetap kerajaan dan bergantung kepada yuran bulanan RM1,000 selain sumbangan zakat serta makanan daripada orang ramai.

Jelasnya, ramai penghuni menunjukkan perubahan positif selepas beberapa bulan di pusat itu, malah ada yang kembali bergaul dan membantu tugasan ringan manakala sebahagian lagi kembali ke pangkuan keluarga selepas stabil.

“Kalau pesakit lain ada rumah kebajikan dan bantuan, mengapa pesakit mental tidak? Mereka juga layak dijaga dan disayangi.

"Kita juga menganjurkan aktiviti lain antaranya sukaneka dan lawatan luar untuk tujuan riadah penghuni," katanya turut menjaga seorang anak Sindrom Down.

Dalam pada itu, beliau berharap lebih banyak pihak termasuk kerajaan, yayasan dan badan bukan kerajaan tampil membantu mewujudkan lebih banyak pusat penjagaan seumpama itu pada masa depan.

 

Ringkasan AI

  • Shohaimi Abdul Latif membuka pusat penjagaan khas untuk lelaki OKU mental di Temerloh sejak 2013
  • Pusat itu bernama Rumah Sejahtera, mula dengan 4-5 penghuni dan kini ada 28 penghuni berusia 30-70 tahun
  • Berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dan menggunakan wang simpanan serta pencen, Shohaimi ingin membantu pesakit mental
  • Rumah Sejahtera beroperasi tanpa bantuan tetap kerajaan dan bergantung pada yuran bulanan dan sumbangan
  • Shohaimi berharap lebih banyak pihak tampil membantu mewujudkan lebih banyak pusat penjagaan untuk pesakit mental

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!