'Ibu tidak sempurna tapi syurga buat saya' - Anak pesakit mental

Asmiza bersyukur memiliki suami yang sentiasa memahami.
Asmiza bersyukur memiliki suami yang sentiasa memahami.
A
A
A

SHAH ALAM – Ketika ramai memilih menjauh apabila diuji dengan ahli keluarga yang mengalami penyakit mental, seorang wanita dari Temerloh, Pahang kekal berdiri setia buat ibunya yang menghidap skizofrenia, gangguan bipolar dan kemurungan kronik.

Asmiza Aziz, 40, mengakui tidak mudah melalui hari-hari penuh emosi apabila insan paling disayangi berperang dengan gangguan mental yang serius.

"Mak pernah marah tanpa sebab, bercakap seorang diri dan banyak termenung seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Ayah pernah menjadi sasaran mak sewaktu dia ‘breakdown’. Tapi saya tahu, itu bukan salah dia.

Mak dan ayah adalah segala-galanya buat Asmiza.
Mak dan ayah adalah segala-galanya buat Asmiza.

“Pernah sekali, mak bawa adik dua orang menaiki bas untuk ke klinik kerana sakit gigi. Ketika itu, mak tidak dapat membezakan bas mana yang perlu dinaiki.

“Mak turun di stesen yang tidak tahu di mana tempatnya dan mahu pulang ke rumah. Namun, mak sebenarnya pergi ke rumah orang lain. Mujur ada hamba ALLAH yang baik menghantar balik mak dan adik-adik ke rumah dengan selamat,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambahnya lagi, peristiwa itu merupakan detik paling menakutkan yang pernah berlaku dalam hidupnya.

Apabila ditanya tentang perasaannya menghadapi dugaan sebegini rupa, Asmiza akui sedih memiliki ibu yang tidak normal, namun selepas lebih 10 tahun berhadapan dengan situasi berkenaan, dia sekeluarga akhirnya akur dengan takdir hidup.

Artikel Berkaitan:

Potret Asmiza bersama mak, ayah dan adik ketika kecil.
Potret Asmiza bersama mak, ayah dan adik ketika kecil.

"Sejak dari bangku sekolah hingga sekarang ini, bukan waktu yang sekejap untuk menerima kenyataan. Syukur kerana orang-orang kampung menerima keadaan mak sebaiknya tanpa prejudis.

“Sekarang ini, mak perlu makan ubat setiap hari. Ubat ini membantu mak rasa tenang dan boleh melakukan aktiviti harian.

“Mak rajin ke masjid untuk mendengar kuliah dan solat berjemaah. Kami sentiasa mengelak untuk membawa mak ke majlis besar seperti undangan perkahwinan kerana mak kurang selesa melihat orang yang ramai,” kata ibu kepada tiga orang anak ini.

Sebagai anak sulung, Asmiza perlu cekal berhadapan dengan dugaan.
Sebagai anak sulung, Asmiza perlu cekal berhadapan dengan dugaan.

Asmiza mengakui ada ketikanya dia rindu untuk mendapat belaian kasih ibu seperti orang lain, namun menyedari setiap insan mempunyai jalan takdir yang berbeza.

Malah katanya, dia juga sentiasa bersikap positif dengan menganggap kekurangan di mata orang lain dengan memiliki ibu yang tidak sempurna itu sebenarnya menjadi 'ladang pahala' dan syurga buatnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!