Lelaki OKU hilang sejak sembilan hari lalu

PASIR PUTEH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dilaporkan hilang sejak sembilan hari lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Banggol Saman, Selising, di sini.
Mangsa, Muhammad Haikal Mohd Saidie, 19, kali terakhir dilihat pada jam 9 pagi, 29 Jun lalu, sebelum gagal dikesan sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria, berkata laporan kehilangan telah dibuat oleh ahli keluarga dan kes kini disiasat serta diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH).
“Setakat ini, usaha mengesan Muhammad Haikal masih giat dijalankan dan kita mohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terlihat atau mengenali mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, lelaki OKU terbabit berkulit cerah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian 019-2424434 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh) di 09-7867222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

