Murid maut jatuh lubang kumbahan: Bapa mahu teruskan tindakan undang-undang

SEREMBAN - "Bukan tidak reda, cuma pihak berkaitan harus mengambil tanggungjawab atas insiden anak maut jatuh lubang kumbahan di dalam kawasan sekolah."
Demikian reaksi Khairol Rizal Mustafar, 42, bapa kepada murid Tahun Tiga, Abdul Fattah Khairol Rizal yang meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan ketika program Hari Sukan pada 27 September lalu.
Khairol Rizal berkata, keluarganya telah mengambil langkah mendapatkan khidmat guaman sejak bulan lalu bagi meneliti tindakan perundangan yang boleh diambil.
“Saya memang dah lantik peguam untuk kes anak saya ini, cuma bentuk tindakan masih belum dimuktamadkan.
"Buat masa ini kami masih berbincang untuk tindakan sama ada di bawah saman sivil atau bentuk lain. Peguam juga belum lagi putuskan pihak mana yang akan dipertanggungjawabkan dalam kes ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah yang akan diambil pihak keluarga selepas siasatan lengkap polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, siasatan terperinci mendapati insiden itu merupakan kemalangan dan tiada unsur jenayah atau penglibatan mana-mana pihak.
Sebelum ini, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Khairol Rizal berkata, keluarga tidak mengambil tindakan serta-merta sejurus kejadian kerana masih dalam tempoh bertenang selain menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa berhubung hasil siasatan insiden berkenaan.
“Saya nak tunggu dulu siasatan dan respons daripada pihak yang berkenaan, sebab mungkin ada dapatan atau maklumat lain. Bila semua jelas, baru tindakan undang-undang akan diteruskan.
“Kita reda dengan kehilangan anak tersayang, cuma mahu pihak bertanggungjawab lebih cakna terhadap aspek keselamatan sekolah agar insiden sama tidak berulang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan memaklumkan, selepas kejadian itu pihak sekolah telah mengambil tindakan segera dengan memasang pagar dan menutup kawasan lubang kumbahan berkenaan.
“Alhamdulillah, tindakan pantas itu kita hargai, tetapi apa yang berlaku sebelum kejadian itu perlu dijelaskan dan diberi perhatian.
“Tambahan pula, anak-anak kami masih bersekolah di situ. Aspek keselamatan ini bukan hanya merujuk kepada sekolah lokasi kejadian, tetapi juga perlu dititikberatkan di semua sekolah lain,” katanya.
Ringkasan AI
- Bapa murid yang meninggal akibat jatuh ke dalam lubang kumbahan di sekolah mendesak tanggungjawab diambil
- Keluarga telah mendapatkan khidmat guaman untuk meneliti tindakan perundangan
- Bahas tindakan sama ada saman sivil atau bentuk lain, masih menunggu keputusan peguam
- Ketua Polis Negeri Sembilan menyatakan insiden itu sebagai kemalangan tanpa unsur jenayah
- Sekolah telah memasang pagar dan menutup kawasan lubang kumbahan selepas kejadian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

