Gadis Orang Asli tekad bangunkan komuniti asal

BINTULU - [DIKEMAS KINI] Seorang gadis Orang Asli dari Gambang, Pahang berhasrat menjadikan ilmu sebagai amanah untuk membangunkan komuniti asalnya yang masih berdepan jurang pendidikan dan keyakinan diri.
Graduan Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan (Kepujian), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak), Adilah Adi berkata, pengalaman menjalani latihan industri di sebuah agensi pembangunan masyarakat mengubah sepenuhnya pandangan hidupnya.
Menurut Adilah, dia tersentuh melihat masih ramai kanak-kanak Orang Asli yang berasa rendah diri dan tidak yakin untuk menyambung pelajaran ke universiti ketika latihan industri terbabit, sekali gus sedar bahawa belajar bukan untuk diri sendiri tetapi juga mereka.
"Ramai pelajar di kampung saya beranggapan bahawa universiti hanya untuk orang bandar, menyebabkan mereka tidak berani bermimpi besar.
“Saya lihat ramai adik-adik di kampung rasa tidak layak untuk berjaya. Dari situ saya berjanji, saya akan kembali dan menjadi suara yang membakar semangat mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-49 Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), di sini pada Sabtu.
Ujar Adilah, dia mahu menjadi bukti bahawa anak Orang Asli juga mampu berjaya, asalkan diberi peluang dan keyakinan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Peter Chin berkata, universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi juga gelanggang penting dalam membentuk jati diri.
Tambahnya, universiti juga menjadi platform menyemai bakat serta menyerlahkan potensi diri agar graduan bukan sahaja cemerlang di bilik kuliah, malah unggul di pentas kepimpinan dan kokurikulum.
Menurutnya, setiap graduan perlu mengamalkan nilai-nilai murni yang diterapkan sepanjang berada di universiti serta menjadi duta kepada reputasi dan nama baik UPM di mana sahaja mereka berada.
Kongsinya lagi, selepas lebih 50 tahun penubuhannya, UPM Sarawak kini berkembang sebagai nukleus pengembangan ilmu dan inovasi yang menjangkau seluruh negeri.
Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Yayasan Sarawak atas komitmen berterusan menaja pelajar Program Persediaan Diploma Sains dengan sumbangan berjumlah RM200,000 setahun, meliputi yuran pengajian, kos sara hidup dan kelas tuisyen.
Majlis konvokesyen kali ini mencatat sejarah apabila menjadi yang pertama diadakan di bawah penjenamaan baharu UPM Sarawak selepas pelancaran pada 30 Jun lepas.
Ia turut menyaksikan graduan sulung bagi program baharu Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian dan Diploma Pengurusan Perniagaan menerima ijazah dan diploma masing-masing.
Seramai 556 graduan menerima ijazah dan diploma dalam pelbagai bidang, meliputi tujuh Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 31 Ijazah Sarjana, 130 Ijazah Bacelor dan 388 Diploma.
Ringkasan AI
- Seorang gadis Orang Asli dari Gambang, Pahang berhasrat menggunakan ilmu untuk membangunkan komunitinya
- Graduan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak ingin menjadi suara yang memberi semangat kepada komuniti Orang Asli
- Menyadari pentingnya membangkitkan keyakinan anak-anak Orang Asli untuk mengubah persepsi bahawa universiti hanya untuk orang bandar
- Mahu menjadi bukti bahawa anak Orang Asli mampu berjaya jika diberi peluang dan keyakinan
- UPM Sarawak telah berkembang sebagai pusat pengembangan ilmu dan inovasi, dengan mengadakan konvokesyen pertamanya di bawah penjenamaan baharu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

