Dijangkiti 'penyakit' keangkuhan

KISAH ini berlaku kepada salah sahabat saya yang merupakan seorang jurugambar sebuah syarikat media kira-kira 11 tahun lalu.
Beliau telah ditugaskan untuk mengambil gambar seorang kenamaan dan kemudian ia disiarkan di media tersebut pada keesokan harinya.
Tetapi malangnya apabila gambar itu disiarkan, kenamaan tersebut mengatakan ia tidak cantik dan hodoh.
Kebetulan pula pada keesokan harinya, kenamaan itu sekali lagi hadir untuk merasmikan satu majlis dan beliau mengambil kesempatan untuk menegur kalangan jurugambar yang hadir membuat liputan.
Cuma sahabat saya itu tidak ditugaskan ke majlis tersebut. Saya fikir mungkin aduan tentang ketidakpuasan hati isteri pemimpin itu sudah sampai ke pengetahuan pihak atasan media itu.
Kisah ini sekadar kecoh dalam kalangan wartawan dan jurugambar media tempatan sahaja dan tidaklah sampai tular di media sosial.
Kemudian beberapa tahun lalu, saya telah dijemput untuk menghadiri satu majlis makan malam kepada seorang pemimpin politik dan mendedahkan pernah mengadu tentang gambar yang tidak cantik digunakan oleh media tempatan kepada kenamaan itu.
Ini telah mengembalikan ingatan saya kisah yang berlaku kepada sahabat jurugambar saya itu, cuma saya tidak dapat sahkan sama ada dua kisah ini ada kaitan atau tidak, dan tidak berhasrat untuk bertanya pun.
Namun jauh di sudut hati beginilah ragam segelintir orang apabila berada di puncak kuasa.
Selepas merasa nikmatnya kuasa, maka ia adalah suatu keistimewaan dan kelazatan dunia sehingga hilang rasa empati.
Parti tersebut akhirnya kalah besar dalam pilihan raya selepas berpuluh tahun memerintah, tetapi sudah tentu mereka jatuh bukanlah kerana gambar hodoh yang disiarkan dalam media.
Kalau hendak dibandingkan dengan sekadar siar gambar hodoh, ia hanyalah ibarat setitis air di lautan sahajalah. Ada dosa lebih besar sehingga mereka ditolak pengundi.
Alhamdulillah sekarang mereka kelihatan sudah berubah tetapi penyakit itu nampaknya sudah menjangkiti orang lain.
Pada masa lalu, pemimpin-pemimpin politik berada dalam zaman itu cukup bertuah kerana tiada media sosial.
Tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri untuk kali yang kedua dapat merasai perbezaan tersebut. Beliau berdepan dengan cabaran besar. Cuma yang menyebabkan kerajaan beliau tumbang bukan sebab kata-kata nista warganet di media sosial.
Dr Mahathir meletak jawatan kerana berlaku pergolakan dalam kerajaan yang berpunca daripada perbuatan khianat orang-orang politik sendiri.
Namun tang menghangatkan suasana ialah tersebarnya maklumat dan berita palsu sehingga mencalarkan imej kerajaan dan pemimpin. Ia terus berlaku hingga ke hari ini.
Bagaimanapun, semua media arus perdana terus memainkan peranan menyokong kerajaan yang memerintah, dan dalam masa yang sama memainkan melakukan semak dan imbang, serta menjadi rujukan utama rakyat berbanding media sosial yang banyak maklumat palsu dan tidak benar.
Jadi, peranan media arus perdana penting, cuma janganlah ada prasangka buruk terutama kepada wartawan-wartawan yang melakukan tugasan mereka dengan penuh integriti serta profesionalisme yang tinggi.
Biarlah mereka bertanya soalan-soalan yang sensitif, jika tidak wartawan ‘jadian’ di media sosial pula yang ambil alih peranan tersebut.
Sementara pemimpin pula jawablah soalan wartawan dengan baik supaya laporan yang disiarkan itu juga bagus dan mendapat persepsi baik rakyat.
Sebagaimana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan kehebatan beliau dengan diplomasi tahap tertinggi ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.
Seharusnya menteri-menteri di bawah kepimpinan Anwar juga perlulah juga menunjukkan diplomasi tertinggi dengan rakyat termasuk rakan-rakan di media arus perdana.
Tidak perlulah sampai mengugut wartawan dan mengadu kepada atasan mereka secara terbuka jika tidak suka dengan soalan yang diajukan.
Ini kerana ramai dalam kalangan kita tidak lupa kebebasan media yang diperjuangkan dahulu, dan janganlah ia dibiarkan malap hanya kerana sudah berada dipuncak kuasa.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
