Dr Mahathir dakwa Anwar ‘pathological liar’, tabur fitnah sejak 27 tahun lalu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kemampuan menipu secara menakjubkan atau ‘pathological liar’ dan menabur fitnah terhadapnya sejak 27 tahun lalu.

Dr Mahathir berkata demikian dalam pernyataan saksinya bagi prosiding kes saman berhubung ucapan Anwar yang juga Perdana Menteri ke-10, dalam Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: 'Perlaksanaan Sebuah Idealisme' pada 18 Mac 2023.

Dalam dokumen setebal 54 muka surat, Dr Mahathir yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada Julai lalu mendakwa, Anwar, 78, telah mengeluarkan isu fitnah terhadapnya sejak tahun 1998.

“Anwar ialah seorang ‘pathological liar’, mempunyai kemampuan menipu yang menakjubkan dan akan menipu demi jawatan serta kuasa.

“Beliau mengata kononnya saya zalim, diktator, guna kroni, kayakan anak-anak dan menggunakan polis untuk menangkap orang.

“Anwar juga kata, saya telah membuat kerosakan sedangkan kenyataan tersebut telah mencemari reputasi saya selaku tokoh politik.

“Sebelum ini, Anwar memberitahu telah bersedia untuk mengemukakan fakta bagi membuktikan kenyataan tersebut namun sejak November 2022 kemudian Mei 2023, tiada satu pun perkara itu ditunjukkan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Anwar juga tidak memberikan sebarang bukti yang menyatakan bekas Perdana Menteri berkenaan telah mencuri wang, memasukkan dana ke akaun peribadi, hartanya telah mencecah berbilion ringgit, memberi projek kepada anak-anak atau membantu kroni.

Dr Mahathir berkata, sikap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu agak berbeza ketika bersama-sama dalam barisan Kabinet yang sama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ia termasuk semasa 2018 iaitu ketika Anwar meminta bantuan untuk memenangi pilihanraya di kerusi Port Dickson.

Biarpun dilempar pelbagai dakwaan, beliau memberitahu tidak mengambil peduli kerana menganggap Anwar tidak mempunyai sebarang kuasa.

Bagaimanapun katanya, keputusan untuk membawa isu berkenaan ke muka pengadilan dicapai selepas Ahli Parlimen Tambun itu dilantik sebagai Perdana Menteri pada penghujung November 2022.

Bekas Presiden UMNO itu mendakwa, ini kerana seorang Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk dapatkan segala bukti menggunakan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam dokumen yang difailkan pada 3 Mei 2023, Dr Mahathir memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung ucapan berkenaan.

Dr Mahathir sebagai plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Law Practice of Rafique di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Anwar selaku defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutan, Mahathir mendakwa Anwar telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang berbaur fitnah bertujuan untuk menjatuhkan reputasinya.

Menurut beliau, antaranya termasuk kenyataan kononnya plaintif ‘membolot’ harta untuk anak-anak dan keluarganya selain memberikan layanan khas atau mengutamakan individu-individu yang berpangkat tinggi.

Sedangkan katanya, kenyataan berkenaan tidak benar dan menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Anwar yang merupakan Presiden PKR dalam penyataan pembelaan pada 14 Jun tahun sama mendakwa, saman Dr Mahathir sebagai melemahkan kredibilitinya selaku Perdana Menteri selain mewujudkan perpecahan kaum menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Anwar berkata, berdasarkan Sijil Perakuan Segera yang difailkan plaintif, ia menyatakan tindakan saman mesti dilupuskan dengan segera kerana (ketika itu) enam negeri akan membubarkan sidang DUN bagi memberi laluan kepada PRN.

Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pemberian kontrak secara langsung kepada Opcom Sdn Bhd yang mana anak ketiga Dr Mahathir iaitu Datuk Seri Mukhriz ialah pengarah syarikat tersebut pada 30 Mac 1994 hingga 14 Oktober 2009.

Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Datuk Donald Joseph Franklin bersambung Khamis ini.

Ringkasan AI

  • Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penipu hebat dan telah menabur fitnah terhadapnya sejak 27 tahun lalu
  • Dr Mahathir mendakwa Anwar telah menuduhnya zalim, diktator dan menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi tanpa bukti yang konkret
  • Anwar, yang kini Perdana Menteri sebelum ini dikatakan telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Dr Mahathir sejak tahun 1998
  • Dr Mahathir telah memfailkan saman fitnah terhadap Anwar dengan menuntut ganti rugi RM150 juta
  • Anwar dalam pembelaannya menyatakan saman Dr Mahathir bertujuan melemahkan kredibilitinya sebagai Perdana Menteri dan mencetuskan perpecahan kaum

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!