Teknologi terkini tingkat kecekapan SPRM

Hisyam (kiri) hadir sebagai panel forum bertemakan ‘Masa Depan Integriti: Menangani Ancaman Rasuah dan Salah Guna Kuasa di Era Digital’ di Ayer Keroh pada Khamis.
Hisyam (kiri) hadir sebagai panel forum bertemakan ‘Masa Depan Integriti: Menangani Ancaman Rasuah dan Salah Guna Kuasa di Era Digital’ di Ayer Keroh pada Khamis.
A
A
A

AYER KEROH – Penggunaan teknologi terkini, khususnya kecerdasan buatan (AI), mampu meningkatkan kecekapan serta keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pelaksanaan tugasan melibatkan sektor operasi, pencegahan dan pengurusan.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, penggunaan teknologi turut dimanfaatkan sepenuhnya dalam pengurusan krisis komunikasi bagi meningkatkan keyakinan serta persepsi masyarakat terhadap agensi itu.

“Masyarakat perlu lebih bertanggungjawab dalam menggunakan kemudahan teknologi seperti media sosial supaya ia tidak menjadi medan penyebaran maklumat yang tidak tepat atau palsu.

“SPRM sentiasa terbuka untuk menerima kritikan dan teguran, namun ia perlu dilakukan secara rasional dan tidak dipandu emosi, supaya ia boleh menjadi asas penambahbaikan kepada SPRM mahupun agensi kerajaan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum bertajuk ‘Masa Depan Integriti: Menangani Ancaman Rasuah dan Salah Guna Kuasa di Era Digital’, di sini pada Khamis.

Forum tersebut dianjurkan oleh Unit Integriti, Jabatan Ketua Menteri Melaka dengan kerjasama Institut Pengurusan dan Integriti Melaka (INSPIM) serta Institut Integriti Malaysia (IIM), bersempena Program SETIA 2.0 sempena Sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025.

Dalam ucapannya, Hisyam turut menekankan bahawa amalan integriti dan tadbir urus yang baik merupakan asas penting dalam memastikan kecekapan pentadbiran, khususnya untuk memperkukuh budaya integriti dalam sektor awam dan korporat.

“Setiap individu dalam sesebuah organisasi perlu memainkan peranan aktif dalam memupuk budaya integriti serta menolak rasuah dan salah guna kuasa daripada terus berlaku.

“Usaha membanteras rasuah bukan hanya terletak di bahu SPRM semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama. Ia sejajar dengan tindakan yang digariskan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dengan sasaran mencapai kedudukan 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang tahun 2033,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Program dua hari itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah IIM, Datuk Seri Mustafar Ali.

Sepanjang forum berlangsung, pelbagai sesi pembentangan dan perbincangan diadakan bagi membincangkan cabaran serta strategi memperkukuh integriti dan tadbir urus berkesan di era digital.

Ringkasan AI

  • Teknologi terkini seperti AI dapat meningkatkan kecekapan SPRM dalam operasi, pencegahan, dan pengurusan
  • Penggunaan teknologi membantu dalam pengurusan krisis komunikasi untuk meningkatkan keyakinan terhadap SPRM
  • Masyarakat harus bertanggungjawab dalam menggunakan teknologi dan media sosial untuk mengelak penyebaran maklumat palsu
  • Amalan integriti dan tadbir urus yang baik diperlukan untuk memperkuat budaya integriti dalam sektor awam dan korporat
  • Usaha membanteras rasuah adalah tanggungjawab bersama yang sejajar dengan strategi nasional untuk meningkatkan persepsi rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!