Lesen PSV pemandu Grab terlibat gangguan seksual dibatal - Anthony Loke

Anthony mengarahkan JPJ supaya membatalkan Lesen PSV pemandu terbabit dengan serta-merta.
Anthony mengarahkan JPJ supaya membatalkan Lesen PSV pemandu terbabit dengan serta-merta.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil tindakan tegas berhubung insiden gangguan seksual yang melibatkan seorang pemandu Grab terhadap penumpang di Johor Bahru.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu terbabit dengan serta-merta.

“Tindakan itu bermaksud pemandu tersebut tidak dibenarkan berkhidmat sebagai pemandu di semua platform e-hailing,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selain itu, MOT menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memanggil semua pengendali e-hailing, termasuk Grab, bagi membentangkan pelan tindakan penambahbaikan untuk meningkatkan tahap keselamatan penumpang.

Anthony menegaskan bahawa MOT tidak akan bertoleransi terhadap sebarang tingkah laku yang mengancam keselamatan penumpang dan bersedia memberikan sokongan penuh kepada mangsa bagi memastikan tindakan polis diambil terhadap pelaku.

Pada Isnin, tular sebuah video yang memaparkan seorang pemandu e-hailing melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita.

Video yang dilaporkan dirakam sendiri oleh penumpang terbabit menunjukkan pemandu berkenaan menghulurkan tangannya ke belakang untuk menyentuh wanita tersebut, namun ditepis.

Pemandu itu juga didakwa bertanya umur wanita berkenaan serta berapa ‘harganya’ dalam bahasa Mandarin.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu Grab yang melakukan gangguan seksual
  • Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam pemandu terbabit dibatalkan serta-merta oleh JPJ
  • Pemandu tersebut dilarang berkhidmat di semua platform e-hailing
  • MOT akan memanggil semua pengendali e-hailing untuk membentangkan pelan peningkatan keselamatan penumpang
  • Anthony Loke menegaskan tidak akan bertoleransi terhadap tingkah laku yang mengancam keselamatan penumpang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!