Pempengaruh media sosial didakwa rogol, lakukan amang seksual terhadap dua remaja

KUALA LUMPUR - Seorang pempengaruh media sosial dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan, bulan lepas.
Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar dan Mohd Kafli Che Ali.
Di hadapan Tasnim, Muhammad Iman Hazriq didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun enam bulan ketika kejadian di dalam bilik sebuah kondominium, Wangsa Maju di sini antara 1 tengah hari hingga 8 malam, 22 Januari lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Mohd Kafli, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi remaja perempuan berumur 16 tahun bagi tujuan seksual di tempat, masa dan tarikh sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 bagi pertuduhan merogol dan amang seksual dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan, mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai.
Peguam, Mohamad Akmal Mohd Taufik yang mewakili Muhammad Iman Hazriq memohon supaya jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih bujang serta menanggung ibu bapa dan dua adik yang masih bersekolah.
"Anak guam saya bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai kasut dengan pendapatan RM2,000 sebulan. Dia juga memberikan kerjasama baik dengan pihak polis sepanjang siasatan dan tiada risiko untuk melarikan diri," katanya.
Hakim Tasnim dan Mohd Kafli masing-masing membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 4 Mac dan 2 April ini untuk sebutan kes. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang pempengaruh media sosial didakwa atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua remaja perempuan
- Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim
- Pertuduhan merangkumi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan
- Jaminan ditetapkan RM10,000 dengan syarat tambahan untuk tiap-tiap tuduhan
- Kes akan disebut semula pada 4 Mac dan 2 April
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
