Malaysia masih dalam rundingan tarif import dengan AS - Mohamad

SEREMBAN - Malaysia masih dalam proses rundingan dengan Amerika Syarikat(AS) berhubung tarif import yang dikenakan terhadap negara ini, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, kerajaan komited untuk memastikan perbincangan dua hala itu tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang sekian lama terjalin.
"Kita cuba sedaya upaya untuk memberikan fakta-fakta kepentingan hubungan dua hala antara AS dan Malaysia.
"Kita mahu supaya kepentingan bersama ini terus dapat dipelihara dengan baik dan kita tidak mahu nanti disebabkan oleh rundingan berkenaan tarif ini, ia akan merosakkan hubungan dua hala kedua-dua negara," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui selepas menyampaikan sumbangan untuk penerima Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau di Dewan Orang Rantau di sini pada Khamis.
Jelas beliau, rundingan perdagangan dengan AS perlu dilihat dalam skop lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada isu tarif semata-mata, tetapi juga soal kedaulatan negara.
Pada masa sama katanya, Malaysia bukan saja rakan strategik kepada AS tetapi juga semua negara.
"Kita mengamalkan dasar berkecuali dan kita di Asia Tenggara ataupun di ASEAN ini mempunyai dasar keterangkuman bersama.
"Jadi, sebarang usaha untuk memecah-belahkan kami itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak sihat,"katanya.
Sebelum ini media melaporkan,menerusi kenyataan rasmi di platform Truth Social, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan Malaysia tersenarai antara negara yang akan dikenakan tarif import 25 peratus oleh AS.
Ia sekali gus menandakan permulaan fasa baharu dalam siri tindakan perdagangan terhadap beberapa negara rakan dagang utama Washington.
Menerusi pengumuman sama, kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos, melibatkan barangan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Kazakhstan dengan kadar berbeza dikenakan ke atas negara lain.
Dalam pada itu ditanya berhubung pelantikan penulis dan pengulas konservatif, Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia, Mohamad berkata, masih terlalu untuknya mengulas mengenai perkara itu.
Ini kerana jelas beliau, ia masih belum diputuskan oleh Senat AS.
"Soal Nick Adam itu belum lagi dibawa(diputuskan) dalam Senat AS, biar merekalah buat.
"Beliau belum ada apa-apa lagi pun. Jadi terlalu awal untuk saya beri komen," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

