Baru buka akaun, terus dipanggil haji

Bermula deposit RM200, Mohd Faizal Ang tidak sangka rezeki dijemput awal menjadi tetamu ALLAH di Baitullah

MOHD FAIZAL ANG ketika menunaikan ibadah haji pada tahun 2011. -Foto: IHSAN MOHD FAIZAL ANG ABDULLAH
MOHD FAIZAL ANG ketika menunaikan ibadah haji pada tahun 2011. -Foto: IHSAN MOHD FAIZAL ANG ABDULLAH
A
A
A

SETAHUN sebelum menunaikan haji, pesara, Mohd Faizal Ang Abdullah, 61, langsung tidak mempunyai akaun Lembaga Tabung Haji (TH), apatah lagi simpanan mencukupi.

Namun, ajakan ibu saudaranya, Safiah Abdullah pada tahun 2010 untuk menunaikan Rukun Islam kelima membuatkan beliau terpanggil untuk membuka akaun TH dengan deposit hanya RM200 selepas dinasihatkan berbuat demikian.

“Selepas itu, saya berikan buku akaun kepada mak cik apabila diminta, rupanya dia tambah lagi hingga RM3,000. Sepupu saya, Dr Fauziah Hassan dan suaminya juga ada tambah dalam RM2,000.

“Alhamdulillah, rezeki saya. Selepas itu, saya berjumpa penghulu, pihak TH dan (bekas) Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Abdul Majid Omar untuk mendapatkan surat sokongan bagi rayuan haji. Walaupun mendapat sokongan, ia bukan jaminan diterima,” kata Mohd Faizal Ang yang memeluk Islam pada 1982, ketika ditemui Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Pada tahun sama, rezekinya mencurah apabila majikannya memberikan bonus tidak disangka-sangka dan semua wang itu dimasukkan ke dalam akaun TH miliknya.

MOHD FAIZAL ANG
MOHD FAIZAL ANG

Benarlah, rezeki tidak pernah salah alamat. Tanpa sebarang ‘kabel’ atau hubungan istimewa, panggilan dinanti-nantikan bekas pemandu lori itu tiba tidak lama kemudian.

“Saya ingat lagi, ketika letak lori di bawah pokok berhampiran masjid untuk menunggu solat Zuhur, waktu itulah pihak TH telefon beritahu saya terpilih untuk menunaikan haji pada tahun itu (2011).

Artikel Berkaitan:

“Saat diberitahu, air mata laju mengalir, sedangkan saya bukan orang yang mudah menangis,” ujarnya.

Bapa kepada empat anak itu menyifatkan segalanya tersusun begitu indah oleh kuasa ALLAH.

“Segala urusan haji saya lancar, padahal saya tak cukup duit, tiada kenalan besar, tapi bila ALLAH nak bagi, semuanya jadi mudah,” katanya ringkas.

Bersendirian

Meskipun dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci, Mohd Faizal Ang pergi bersendirian di bawah bimbingan TH memandangkan keluarga ibu saudaranya menggunakan pakej syarikat lain.

Isterinya pula ketika itu belum bersedia, namun jauh di lubuk hati, beliau membawa bersama doa dan harapan keluarganya.

MOHD FAIZAL (tiga dari kanan) bersama keluarganya ketika menunaikan ibadah umrah pada 2014. -Foto: IHSAN MOHD FAIZAL ANG ABDULLAH
MOHD FAIZAL (tiga dari kanan) bersama keluarganya ketika menunaikan ibadah umrah pada 2014. -Foto: IHSAN MOHD FAIZAL ANG ABDULLAH

“Dalam hati, saya cuma berdoa ‘Ya ALLAH, permudahkan urusan haji hamba-MU ini’. Saya tak berharap kepada sesiapa, hanya kepada DIA saja.

“Ketika sampai di Tanah Suci, dalam bas saya berkenalan dengan seorang lelaki yang juga datang seorang diri, tapi pernah pergi umrah.

“Rupanya kami sebilik di Makkah. Dari situ kami jadi rapat dan saling bantu antara satu sama lain. Kebetulan saya juga berjumpa dengan qari, Ustaz Amirahman Abas yang fasih berbahasa Arab, banyak memudahkan urusan di sana,” ceritanya.

Tatkala melihat Kaabah, seluruh jiwanya sayu hingga air mata laju menitik.

“Hati saya jadi cair. Rasa macam pernah datang ke situ sebelum ini,” ujar Faizal yang mengakui perasaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

Doa untuk keluarga

Antara pengalaman getir yang tidak dilupakan adalah ketika kakinya melecet teruk hingga bernanah. Paling mencabar apabila Mohd Faizal perlu menyempurnakan ibadah melontar jamrah keesokannya, namun semua itu dihadapinya dengan tabah.

Jelas beliau, pengalaman di Tanah Suci banyak mendidik erti sabar dan yakin pada ketentuan ALLAH.

DOA Mohd Faizal (kiri) untuk kembali ke Tanah Suci bersama keluarga selepas menunaikan haji pada 2011 dimakbulkan ALLAH tiga tahun kemudian. -Foto: IHSAN MOHD FAIZAL ANG ABDULLAH
DOA Mohd Faizal (kiri) untuk kembali ke Tanah Suci bersama keluarga selepas menunaikan haji pada 2011 dimakbulkan ALLAH tiga tahun kemudian. -Foto: IHSAN MOHD FAIZAL ANG ABDULLAH

“Kalau kita yakin dengan ALLAH, semua urusan jadi mudah. Kadang-kadang kita risau lebih daripada perlu, padahal ALLAH sudah atur semua dengan baik,” katanya.

Dalam banyak momen yang dilalui, ada satu perkara yang paling terkesan dalam sanubarinya.

“Di hadapan Kaabah, saya berdoa supaya ibu dan adik-beradik saya masuk Islam dan kami sekeluarga dapat datang ke sini suatu hari nanti.

“Alhamdulillah, ibu dan adik saya akhirnya memeluk Islam. ALLAH makbulkan doa,” katanya penuh syukur.

Pada tahun 2014, Mohd Faizal kembali ke Makkah. Kali ini, beliau tidak lagi bersendirian, tetapi ditemani isteri, Noora Mohamad dan empat anaknya menunaikan umrah bersama.

“Bila saya dapat bawa satu keluarga ke Makkah, rasa macam dunia ini saya punya.

“Itulah kebahagiaan sebenar yang tak boleh dibeli dengan duit,” ujarnya.

Sejak pulang daripada melaksanakan haji, kehidupannya berubah sepenuhnya. beliau tidak lagi kejar kemewahan dunia, sebaliknya memilih hidup bersederhana.

“Saya sedar duit bukan segalanya. Apa yang penting kesihatan dan ketenangan hati. Bila kita bersyukur, apa yang kita tak ada pun rasa cukup,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!