Dasar pemilihan jemaah haji kekal berasaskan sistem giliran daftar

SEPANG – Dasar pemilihan jemaah haji kekal berasaskan sistem giliran pendaftaran dan bukannya berdasarkan faktor usia, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Menurutnya, Tabung Haji akan terus menggunakan prinsip ‘siapa daftar dahulu, dia didahulukan’ bagi memastikan keadilan kepada semua pendeposit yang menunggu giliran menunaikan ibadah itu.
Beliau menjelaskan, kerajaan memahami hasrat ramai warga emas yang sudah lama menyimpan untuk ke Tanah Suci, namun dasar semasa perlu dikekalkan bagi mengelakkan ketidakadilan kepada mereka yang telah lama menunggu.
“Saya sudah jawab perkara ini. Polisi sedia ada ialah siapa yang daftar dahulu, dia akan didahulukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Musim 1447H di sini, pada Khamis.
Ujarnya, usul beberapa ahli Parlimen agar individu berumur 60 tahun ke atas diberikan kelayakan automatik untuk menunaikan haji melalui pakej muassasah akan dibincangkan dan diberi pertimbangan oleh Tabung Haji.
“Saya faham isu usia itu, tetapi biarlah usul yang dibawa oleh ahli-ahli Parlimen dibincangkan dan diberikan pertimbangan oleh Tabung Haji,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa Ahli Parlimen supaya individu berumur 60 tahun ke atas diberi kelayakan automatik untuk menunaikan haji di bawah kuota muassasah.
Berdasarkan rekod Tabung Haji, lapan peratus daripada lebih 4 juta pendaftar haji adalah merupakan individu warga emas.
Menurutnya, walaupun cadangan itu dilihat wajar dari sudut kemanusiaan, dasar sedia ada perlu dipelihara bagi menjaga kepercayaan awam terhadap sistem penggiliran TH yang terbukti telus dan berintegriti.
“Kerajaan tidak menolak untuk mendengar pandangan, tetapi biarlah sebarang perubahan dibuat dengan kajian menyeluruh agar tidak menjejaskan mereka yang sudah lama menunggu giliran,” katanya.
Dalam masa sama, Mohd Na’im menasihatkan bakal jemaah, khususnya warga emas, supaya menjaga kesihatan mulai sekarang bagi melayakkan diri menunaikan haji apabila tiba giliran masing-masing.
Beliau berkata, ketetapan kerajaan Arab Saudi yang mewajibkan jemaah berada dalam tahap kesihatan baik sebelum berangkat ke Tanah Suci perlu diambil serius oleh rakyat Malaysia.
“Kita tahu kewajipan haji ini berdasarkan kemampuan, termasuk kemampuan kesihatan. Jadi, bagi mereka yang sudah lama menunggu, jagalah kesihatan dari sekarang supaya pemeriksaan nanti dapat diluluskan,” ujarnya.
Katanya lagi, kerajaan Arab Saudi dan Malaysia sama-sama bertanggungjawab memastikan jemaah menunaikan ibadah dalam keadaan selamat dan sempurna, sejajar dengan prinsip Islam yang menitikberatkan kesejahteraan nyawa.
Jangan terpedaya penipuan haji
SEPANG – Umat Islam diingatkan supaya berhati-hati dengan individu atau syarikat yang menawarkan kuota haji tidak munasabah bagi musim 1447 Hijrah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, orang ramai perlu memastikan hanya berurusan dengan syarikat pengelola jemaah haji yang memiliki lesen sah daripada Lembaga Tabung Haji (TH).
“Tabung Haji tidak pernah melantik individu untuk mengurus urusan haji. Hanya syarikat yang mendapat kebenaran rasmi dibenarkan menjalankan perkhidmatan ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Musim 1447H di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, orang ramai perlu berhati-hati sekiranya didatangi individu yang menawarkan kuota haji dengan bayaran luar biasa rendah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Saya merayu kepada rakyat supaya jangan mudah percaya dengan tawaran tidak masuk akal. Semak dahulu dengan Tabung Haji supaya tidak ditipu oleh mana-mana pihak,” katanya.
Dr Mohd Na’im menjelaskan, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama TH dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membanteras penipuan haji.
“Jawatankuasa ini akan memastikan mana-mana syarikat atau individu yang cuba melanggar undang-undang akan diambil tindakan tegas, termasuk menaikkan kadar denda,” ujarnya.
Menurut beliau, MOTAC uga boleh menarik balik lesen pelancongan atau umrah mana-mana syarikat yang menyalahgunakan permit untuk membawa jemaah menunaikan haji tanpa kebenaran.
“Itu bukan lesen haji sebab lesen haji bawah Tabung Haji. Lesen pelancongan atau umrah itulah yang akan disenarai hitamkan,” tegasnya.
Terdahulu, Mohd Na'im menyampaikan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Musim 1447H kepada 31 daripada 60 syarikat yang memohon.
Mohd Na’im turut menjelaskan, hanya syarikat yang kukuh dari segi kewangan diluluskan sebagai pengelola jemaah haji selepas melalui tapisan ketat oleh jawatankuasa penilaian TH.
“Kita tengok kepada kualiti, bukan jumlah. Kita tidak mahu tambah bilangan pengelola haji dalam keadaan mereka tidak mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah,” katanya.
Ringkasan AI
- Dasar pemilihan jemaah haji berdasarkan sistem giliran pendaftaran bukan usia
- Tabung Haji menggunakan prinsip siapa daftar dahulu didahulukan untuk memastikan keadilan
- Cadangan umur 60 tahun ke atas untuk haji automatik akan dibincang oleh Tabung Haji
- Kerajaan Arab Saudi mewajibkan jemaah berada dalam tahap kesihatan baik sebelum berangkat
- Umat Islam diingatkan berhati-hati dengan penawaran kuota haji tidak munasabah dan pastikan hanya berurusan dengan syarikat pengelola jemaah haji yang berlesen sah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

