Saifuddin Abdullah dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu Khamis ini

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu untuk siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saifuddin menjelaskan, beliau akan bertemu Lembaga Disiplin pada jam 2 petang Khamis ini, 6 November 2025.

Proses siasatan bersama Lembaga Disiplin itu akan diadakan di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

"Pada kira-kira jam 1.52 petang Ahad, saya telah menerima notis untuk saya menghadiri sesi perjumpaan Bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Lembaga Disiplin pada 6 November jam 4.30 petang di Petaling Jaya.

"Oleh kerana pada tarikh itu, di sebelah malamnya saya ada program di luar Kuala Lumpur, saya minta sesi itu diawalkan dan Lembaga Disiplin bersetuju ditukar ke 2 petang," katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Ahad.

Saifuddin dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli masing-masing digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Perlis pada 27 Oktober 2025.

Pada Khamis lalu, tiga Ketua Bahagian Bersatu dipanggil Lembaga Disiplin untuk siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional.

Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timur, Mohd Fadhli Ismail yang mengesahkan perkara itu menyatakan mereka terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Mohd Suhaimi Ghazali; serta Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustafa.

Pada pertengahan Oktober, Lembaga Disiplin Bersatu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, tiga ketua bahagian Bersatu turut dipecat iaitu Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang) serta Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang). - Awani 

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu untuk siasatan berkaitan dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin
  • Saifuddin akan bertemu Lembaga Disiplin pada jam 2 petang, Khamis, 6 November 2025
  • Proses siasatan akan diadakan di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya
  • Saifuddin dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Perlis pada 27 Oktober 2025
  • Tiga Ketua Bahagian Bersatu dipanggil untuk siasatan berkaitan dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin pada Khamis lalu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!