Aura Xanana Gusmao di pentas ASEAN

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao. Foto Bernama
Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao. Foto Bernama
A
A
A

KEHADIRAN Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao di Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini mencuri tumpuan bukan kerana pakaian mewah, pengiring ramai atau ucapan bombastik, tetapi kerana kesederhanaannya yang luar biasa.

Dalam kalangan pemimpin berpengaruh rantau ini, beliau tampil tanpa protokol berlebihan, tanpa simbol kuasa yang menjarakkan, namun auranya cukup kuat untuk menarik perhatian seluruh dewan.

Tindakan spontan Gusmao mendekati wartawan, bergurau, serta berbicara santai di luar dewan sidang menggambarkan sisi kemanusiaan yang jarang kelihatan dalam dunia politik moden.

Beliau tidak hadir sebagai pemimpin baharu yang cari pengiktirafan, tetapi sebagai tokoh yang membawa suara rakyat kecil yang lama terpinggir.

Bagi Gusmao, diplomasi tidak berhenti di meja rundingan atau dalam teks kenyataan rasmi, tetapi hidup dalam tindakan dan empati.

Perjalanan hidupnya sendiri menjadi saksi ketabahan daripada seorang pejuang kemerdekaan yang menentang penjajahan selama lebih dua dekad, kepada tahanan politik yang menghabiskan bertahun-tahun di penjara, sebelum akhirnya menyaksikan kelahiran negara Timor-Leste pada tahun 2002.

Dari duka dan darah, beliau melangkah ke pentas dunia sebagai simbol keberanian dan ketabahan sebuah bangsa kecil yang enggan tunduk kepada tekanan kuasa besar.

Kini, dengan pengesahan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN ke-11, perjuangan panjang itu menemukan makna baharu.

Langkah tersebut bukan sekadar kemenangan diplomatik, tetapi bukti kematangan politik rantau ini dalam menerima kepelbagaian sejarah dan latar.

Artikel Berkaitan:

Kehadiran negara kecil itu mengingatkan ASEAN tentang nilai asal penubuhannya iaitu semangat saling menghormati, kedaulatan, dan kebersamaan serantau yang semakin dilupakan dalam hiruk-pikuk geopolitik moden.

Kemasukan Timor-Leste adalah buah kesabaran dan visi strategik Gusmao yang mahu memastikan negaranya tidak terpinggir daripada arus ekonomi serta keselamatan Asia Tenggara.

Dalam dunia yang semakin dipenuhi kepura-puraan politik dan permainan kuasa, Xanana Gusmao membuktikan bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada kekayaan atau keluasan wilayah, tetapi pada keberanian mempertahankan prinsip dan kejujuran dalam berjuang untuk manusia.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!