Aksi lincah pengawal wanita Malaysia curi tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN

KUALA LUMPUR – Dua pengawal wanita Malaysia mencuri perhatian ramai selepas rakaman video menunjukkan mereka melompat ke atas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang sedang bergerak ketika mengiringi delegasi asing pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Rakaman berdurasi beberapa saat itu yang tular pada Ahad lalu memperlihatkan kedua-dua wanita itu yang masing-masing berpakaian sut rasmi berwarna hitam berlari pantas mengejar SUV berkenaan sebelum membuka pintu belakang dan melompat ke atas kenderaan tersebut.
Mereka kemudian berdiri teguh di bahagian sisi dengan pintu masih terbuka sementara kereta terus bergerak.
Aksi pantas dan kemas yang seolah-olah adegan filem aksi Hollywood itu mencetuskan kekaguman warganet terhadap ketangkasan serta ketenangan kedua-dua pengawal wanita terbabit.
Video tersebut yang dimuat naik oleh pengguna TikTok @lang131499 telah meraih lebih 366,000 tontonan dan lebih 1,100 komen setakat ini.
Rata-rata pengguna memuji disiplin dan profesionalisme mereka, selain kagum dengan kecekapan, kekuatan serta ketepatan tindakan kedua-duanya ketika menjalankan tugas pengiring keselamatan.
“Terpegun tengok polis wanita tu melompat ke kereta. Hebat sungguh pasukan Malaysia,” tulis pengguna @Kak_Sha.
Seorang lagi pengguna, @randy___261 menulis 'Saya asyik ulang bahagian pengawal wanita tu. Selalunya tengok pengawal lelaki je. Mereka ni tahap lain mesti dari unit elit. Hebat, Charlie’s Angels Malaysia.'
Untuk rekod, Charlie’s Angels ialah siri televisyen popular Amerika Syarikat pada tahun 1976 hingga 1981 mengenai tiga detektif wanita di Los Angeles. Siri itu kemudian diadaptasi ke layar perak menerusi tiga filem pada tahun 2000, 2003 dan 2019. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

