Anwar hargai rakyat Malaysia jayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja, sukarelawan serta rakyat Malaysia yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berakhir di ibu negara pada Selasa.
Beliau berkata, kejayaan Malaysia menganjurkan sidang kemuncak berprofil tinggi itu adalah hasil dedikasi semua pihak, termasuk pegawai kerajaan, pasukan keselamatan, petugas lapangan terbang dan sukarelawan yang memastikan setiap urusan berjalan lancar sepanjang persidangan berlangsung.
“Daripada lapangan terbang hingga ke pasukan polis di lapangan, tugas telah menjadi perkhidmatan, dan perkhidmatan itu pula menjadi lambang kasih kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan sepanjang tempoh penganjuran sidang yang menghimpunkan lebih 20 ketua kerajaan dan delegasi serantau.
Menurut beliau, sikap rakyat yang tetap beradab dan berdisiplin walaupun berdepan gangguan trafik serta sekatan keselamatan sementara menjadi cerminan jati diri bangsa Malaysia di mata dunia.
“Kesabaran bukan sekadar kebiasaan kita, tetapi ia adalah karakter dan keperibadian rakyat Malaysia,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa semangat dan disiplin yang ditunjukkan sepanjang tempoh sidang kemuncak ini membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja berjaya menjadi tuan rumah yang baik, tetapi juga bangsa yang berhemah, beradab dan komited kepada keharmonian serantau.
Ringkasan AI
- KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
- Kejayaan acara ini berkat dedikasi pegawai kerajaan, pasukan keselamatan, petugas lapangan terbang dan sukarelawan
- Upacara tersebut diibaratkan sebagai perkhidmatan yang menjadi lambang kasih kepada negara
- Anwar juga menghargai kesabaran dan kerjasama rakyat Malaysia selama penganjuran sidang
- Sikap beradab dan disiplin warga negara menonjolkan jati diri Malaysia di peringkat dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

