[VIDEO] 'Kuota 300 liter BUDI95 hanya cukup seminggu' - TPAD

A
A
A

PUTRAJAYA – Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) mendesak kerajaan menyemak segera pelaksanaan program subsidi petrol BUDI95 yang didakwa membebankan pemandu e-hailing dan p-hailing.

Dakwa Presidennya, M Nantha, kuota 300 liter sebulan hanya mampu bertahan sekitar seminggu operasi.

Ahli-ahli TPAD hadir ke Kementerian Kewangan bagi menyerahkan memorandum berhubung subsidi RON95 kepada Amir Hamzah di Putrajaya pada Khamis. Gambar kecil: Nantha
Ahli-ahli TPAD hadir ke Kementerian Kewangan bagi menyerahkan memorandum berhubung subsidi RON95 kepada Amir Hamzah di Putrajaya pada Khamis. Gambar kecil: Nantha

"Tambahan 300 liter dengan syarat perjalanan 3,000 kilometer adalah suatu yang tidak masuk akal dan tidak adil kepada pemandu e-hailing dan p-hailing," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada pegawai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di sini pada Khamis.

Tegasnya, ketidakseimbangan kadar subsidi itu menjejaskan kelangsungan hidup ribuan pemandu yang bergantung sepenuhnya kepada industri tersebut sebagai sumber pendapatan utama.

"Pemandu e-hailing dan p-hailing berlesen PSV serta EVP biasanya menempuh jarak antara 250 hingga 350 kilometer sehari, tidak termasuk perjalanan kosong dan masa menunggu pekerjaan," jelas Nantha.

Tegasnya, perbezaan subsidi antara pemandu teksi dan e-hailing amat ketara meskipun kedua-duanya diklasifikasikan sebagai perkhidmatan pengangkutan awam, mematuhi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) serta tertakluk kepada garis panduan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Sehubungan itu, TPAD mencadangkan supaya subsidi diseragamkan kepada sekurang-kurangnya 1,200 hingga 1,400 liter sebulan bagi pemandu e-hailing dan p-hailing berlesen, setara kadar yang diterima pemandu teksi.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga perlu mempercepat kelulusan kuota tambahan kepada pemandu aktif yang masih belum menerima manfaat penuh di bawah program BUDI95," tambahnya.

Dalam masa sama, TPAD mencadangkan agar diadakan sesi perundingan rasmi antara Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, APAD dan TPAD bagi merangka mekanisme subsidi lebih adil dan mampan untuk masa depan pengangkutan awam digital negara.

Selasa lalu, Dewan Rakyat diberitahu agar mempertimbangkan pemberian automatik tambahan 300 liter petrol bersubsidi menerusi inisiatif BUDI95 kepada pemandu e-hailing aktif yang memiliki Lesen Memandu Vokasional (PSV) serta Permit Kenderaan E-Hailing (EVP).

Chiew Choon Man (PH-Miri) berkata, terdapat jurang dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan yang perlu segera diperbaiki supaya subsidi bersasar itu benar-benar dapat dimanfaatkan golongan layak, khususnya mereka yang menjadikan bidang e-hailing sebagai sumber pendapatan utama.

Ringkasan AI

  • Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat mendesak kerajaan menyemak semula pelaksanaan subsidi petrol BUDI95
  • Kuota 300 liter sebulan bagi pemandu e-hailing dan p-hailing tidak mencukupi dan dianggap tidak adil
  • Ketidakseimbangan kadar subsidi menjejaskan kelangsungan hidup ribuan pemandu
  • TPAD mencadangkan subsidi diseragamkan kepada sekurang-kurangnya 1,200 hingga 1,400 liter sebulan
  • Diperlukan perundingan rasmi untuk merangka mekanisme subsidi yang lebih adil dan mampan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!