[VIDEO] Kehadiran Trump bukan bermakna Malaysia tunduk kepada kuasa besar
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan bermakna Malaysia tunduk kepada mana-mana kuasa besar, sebaliknya langkah strategik untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, pertemuan empat mata bersama Trump memberi ruang kepada Malaysia untuk menyuarakan pendirian tegas mengenai isu kemanusiaan di Gaza dan menuntut gencatan senjata, di samping membincangkan peluang pelaburan serta perdagangan antara kedua-dua negara.

“Saya gunakan kesempatan itu untuk bercakap terus mengenai Gaza dan menegaskan supaya serangan dihentikan. Diplomasi bukan melalui jeritan atau makian, tetapi melalui rundingan rasmi yang memberi kesan nyata,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutupan sidang kemuncak berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa.
Anwar berkata, hasil perbincangan menunjukkan perkembangan positif apabila AS bersetuju menghentikan sementara serangan ke atas Gaza dan Tebing Barat, walaupun penyelesaian menyeluruh masih belum dicapai.
Beliau menegaskan, hubungan baik dengan AS tidak menghalang Malaysia daripada memperkukuh hubungan dengan negara lain seperti China, Kesatuan Eropah, Brazil dan Afrika Selatan, selaras dengan dasar berkecuali dan sederhana yang diamalkan Malaysia.
“Malaysia berkawan dengan semua China, Amerika, Eropah, Brazil dan Afrika Selatan atas dasar saling menghormati dan menjaga kepentingan rakyat, bukan kerana tunduk,” jelasnya.
Menurutnya lagi, rundingan ekonomi bersama AS turut menyentuh isu tarif tinggi terhadap barangan Malaysia selain membuka peluang baharu dalam sektor semikonduktor, maritim dan teknologi hijau.
Anwar turut menambah, kejayaan Malaysia menandatangani peningkatan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (FTA 3.0) sehari selepas sidang bersama AS membuktikan keupayaan diplomasi negara mengimbangi kepentingan dua kuasa besar dunia secara matang dan berprinsip.
Pada masa sama, beliau menegur segelintir pihak yang tergesa-gesa menjatuhkan hukum susulan penularan gambar beliau bersama isteri Presiden Filipina, Marie Louise ‘Liza’ Araneta Marcos pada sidang kemuncak berkenaan.
“Ada yang belajar agama tapi tidak tahu fakta sebenar. Mereka terus menghukum dan menuduh maksiat. Tidak ada pun sentuhan, itu cuma sudut kamera tengok kalau ambil gambar dari belah kanan,” ujarnya.
Anwar turut menegaskan bahawa pendirian Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin akan terus dibawa di semua platform antarabangsa termasuk ASEAN, OIC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Saya bercakap terus dengan Presiden AS dan pemimpin dunia lain. Saya tegaskan penyelesaian mesti komprehensif dan menghormati hak rakyat Palestin untuk memiliki negara sendiri,” katanya.
Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga terhadap kedudukan Malaysia yang kini menjadi tumpuan dunia kerana keupayaan mengimbangi hubungan antarabangsa dengan berhemah dan berprinsip.
“Malaysia tidak tunduk kepada sesiapa. Kita teguh kerana prinsip, diplomasi beradab dan keberanian mempertahankan maruah negara,” katanya.
Ringkasan AI
- Kehadiran Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN adalah strategi Malaysia untuk memperkuat hubungan dengan AS, bukan tanda tunduk
- Anwar Ibrahim menggunakan pertemuan dengan Trump untuk membincangkan isu Gaza dan peluang ekonomi
- Malaysia mendapat komitmen dari AS untuk menghentikan serangan ke atas Gaza sementara waktu
- Perbincangan dengan AS juga meliputi isu tarif tinggi dan peluang baru dalam sektor semikonduktor, maritim dan teknologi hijau
- Malaysia berjaya menyeimbangkan hubungan dengan kuasa besar dunia termasuk penandatanganan peningkatan FTA dengan China
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

