Armada Bersatu Larut mahu transisi pelan kepimpinan parti dilaksana

Muhammad Nur Firdaus
Muhammad Nur Firdaus
A
A
A

IPOH – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Larut menggesa pelan transisi kepimpinan parti dilaksanakan bagi memastikan kestabilan serta kekuatan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Armada Bersatu Larut, Muhammad Nur Firdaus Hamzah berkata, pelan itu penting untuk menjamin kesinambungan kepimpinan dan memastikan Perikatan Nasional (PN) kekal utuh dalam menghadapi cabaran politik semasa.

"Armada Bersatu Larut mengambil maklum keadaan kesihatan serta pendakwaan di mahkamah yang dihadapi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Justeru, pelan transisi yang telah dipersetujui perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tertib demi kestabilan parti," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Muhammad Nur Firdaus berkata, Armada Bersatu Larut turut menolak larangan yang menghalang ahli parti daripada berhubung dengan mana-mana individu yang telah digantung atau dipecat.

Katanya, alasan tindakan itu bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan berpersatuan.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang menekankan pentingnya amalan demokrasi dan keterbukaan dalam parti.

"Dalam sebuah parti politik yang sihat, kritikan bukan satu bentuk pengkhianatan tetapi mekanisme semak dan imbang yang perlu diraikan.

"Jika ruang kritikan ditutup, perjuangan Bersatu hanya tinggal retorik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, sayap itu menegaskan hubungan baik dengan rakan komponen dalam PN mesti dipelihara bagi memastikan kekuatan gabungan terus kukuh.

Tambahnya, fokus utama Bersatu ketika ini seharusnya tertumpu kepada isu-isu rakyat termasuk tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan yang tertangguh di samping persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.

Ringkasan AI

  • Armada Bersatu Larut menggesa pelan transisi kepimpinan parti dilaksanakan untuk memastikan kestabilan Bersatu menjelang PRU16
  • Menekankan kepentingan pelan transisi untuk menjamin kesinambungan kepimpinan dan keutuhan Perikatan Nasional
  • Mengambil maklum kesihatan dan pendakwaan Presiden Bersatu, menyeru agar pelan transisi yang dipersetujui dihormati
  • Armada Bersatu Larut menolak larangan yang menghalang ahli berhubung dengan individu digantung atau dipecat, menganggapnya bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan
  • Menyatakan sokongan terhadap amalan demokrasi dan keterbukaan, menegaskan pentingnya menjaga hubungan baik dalam PN sambil fokus kepada isu rakyat seperti kos sara hidup dan peluang pekerjaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!