Ungkapan 'cerai' hanya kiasan spontan, bukan motif politik - Alexander

KUALA LUMPUR - Menteri Kerja Ray,a, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan bahawa ungkapan "cerai” digunakan beliau dalam satu podcast minggu lepas bukan bermotifkan politik, sebaliknya hanya kiasan dengan mesej agar semua pihak menghentikan perbalahan dan kembali hidup dalam keharmonian.
Alexander yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kenyataan beliau itu perlu difahami dalam konteks yang menyeluruh bukannya untuk ditafsir secara literal atau dijadikan bahan polemik politik.
Beliau berkata, ungkapan itu adalah kiasan secara spontan untuk mengajak semua pihak memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki pengurusan ekonomi negara serta kesejahteraan hidup rakyat dan menghentikan perbalahan yang merugikan.
"Saya tidak pernah berniat mengatakan kita mahu ‘bercerai’. Ia sekadar satu ungkapan untuk menyeru supaya kita hidup dalam harmoni, hidup dalam keamanan dan fokus kepada apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan rakyat.
"Saya turut menyatakan saya mahu melindungi Malaysia, itulah intinya. Tetapi orang lebih suka memetik bahagian yang lain, apa boleh buat. Setiap orang ada cara berfikir masing-masing. Itu kebebasan bersuara.
"Mereka mentafsirnya dalam pelbagai cara…ada yang kata ia modal politik. Itu terpulang kepada mereka. Bagi saya, saya bercakap secara spontan,” kata Ahli Parlimen Kapit itu ketika mengulas kritikan terhadap kenyataan tersebut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek Pembina Penjara Sibu, Sarawak, di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.
Baru-baru ini, ketika menjadi tetamu sesi podcast terbitan sebuah radio berbahasa Inggeris, Alexander menggunakan ungkapan "cerai” dalam perbincangan mengenai kedudukan Sarawak dalam Malaysia.
Kenyataan beliau itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada beberapa pemimpin dan pemerhati politik yang menyifatkan kenyataan Alexander itu sebagai tidak wajar dan tidak membina. - Bernama
Ringkasan AI
- Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menjelaskan ungkapan "cerai" dalam podcast sebagai kiasan untuk menghentikan perbalahan
- Ungkapan tersebut bukan bermotifkan politik tetapi untuk menyeru kembali hidup dalam keharmonian
- Alexander mengajak fokus kepada usaha memperbaiki pengurusan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat
- Beliau menegaskan tiada niat untuk bercerai tetapi ingin melindungi Malaysia dan hidup dalam keamanan
- Kenyataan Alexander mengundang kritikan tetapi beliau berpendapat ia adalah kebebasan bersuara dan cara berfikir masing-masing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
