Krisis keyakinan pelajar perlu diberi perhatian serius – Armada

Program Meja Bulat: Adakah Pendidikan Kita Dalam Krisis yang berlangsung di Karangkraf di sini pada Selasa.
Program Meja Bulat: Adakah Pendidikan Kita Dalam Krisis yang berlangsung di Karangkraf di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Sistem pendidikan negara disifatkan mempunyai asas dan pelan pembangunan yang baik, namun berdepan cabaran besar dalam mengekalkan ‘penyala rasa’ atau semangat tulen guru serta keyakinan pelajar terhadap institusi pendidikan.

Exco Hubungan Antarabangsa dan Diplomatik Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Afiq Hassan berkata, sistem sedia ada sebenarnya sudah lengkap dan tersusun melalui pelan pembangunan serta dasar yang dirancang rapi oleh kerajaan terdahulu.

Mohd Afiq
Mohd Afiq

Menurutnya, cabaran utama kini bukan terletak pada sistem itu sendiri, tetapi pada pelaksana dan penerima iaitu guru serta pelajar.

“Sistem kita sebenarnya lengkap. Cuma audiensnya berbeza. Dalam masa yang sama, kita perlu cari keseimbangan dalam penggunaan teknologi supaya ia memudahkan beban guru, bukan menambahkannya.

“Penggunaan teknologi dalam pendidikan tidak seharusnya menghilangkan semangat mengajar yang tulen dalam diri pendidik. Jika beban kerja terlalu tinggi, ‘penyala rasa’ itu akan padam. Bila semangat hilang, kualiti pengajaran juga akan terjejas,” katanya semasa menjadi panelis Program Meja Bulat: Adakah Pendidikan Kita Dalam Krisis yang berlangsung di Karangkraf di sini pada Selasa.

Empat panelis lain turut serta ialah Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin; Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohammad Syamil Luthfi; Setiausaha Publisiti DAPSY, Ho Chi; dan Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid.

Program diskusi selama dua jam itu turut menampilkan Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Dr Anuar Ahmad sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Mohd Afiq turut menekankan kepentingan meneruskan dasar pendidikan yang baik tanpa terlalu banyak perubahan setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan di peringkat kementerian.

“Kita tak perlu ubah perkara yang sudah bagus. Apa yang Dr Radzi Jidin dan Dr Maszlee Malik perkenalkan – dasar, penambahbaikan – semuanya baik. Kita hanya perlu buat intervensi dan penambahbaikan, bukan ubah keseluruhan sistem,” jelasnya.

Antara isu besar yang dibangkitkan dalam sesi itu ialah krisis keyakinan pelajar terhadap sistem pendidikan.

Menurut beliau, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hampir 50 peratus lepasan SPM dilaporkan tidak mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ini satu krisis yang mungkin kita terlepas pandang. Ramai pelajar tidak mahu menyambung pengajian kerana mereka merasakan hasilnya sama sahaja – gaji sama, peluang kerja sama. Jadi mereka hilang harapan,” ujarnya.

Mohd Afiq berpendapat, fenomena tersebut perlu ditangani segera menerusi pendekatan menyeluruh termasuk memperkukuh kepercayaan terhadap nilai pendidikan, memperkenalkan laluan kerjaya yang lebih pelbagai serta memastikan sistem pendidikan kekal relevan dengan keperluan semasa.

“Apabila pelajar gagal, mereka terus rasa putus asa. Mereka fikir masuk universiti pun belum tentu menjamin masa depan. Inilah cabaran sebenar yang perlu kita tangani bersama,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa sistem pendidikan masa kini memerlukan sokongan lebih kukuh daripada kerajaan bagi membantu ibu bapa mendidik anak-anak dalam suasana sosial dan teknologi yang semakin mencabar.

Ujarnya, berbeza dengan dahulu, ibu bapa kini berdepan persekitaran yang lebih kompleks di mana keselamatan dan pendedahan maklumat anak-anak sukar dikawal.

“Dulu kita bebas bermain di taman, ke kedai runcit naik basikal tanpa risau. Tapi sekarang, zaman sudah berubah. Kita tak boleh biarkan anak-anak bergerak bebas seperti dahulu,” katanya.

Menurutnya lagi, tanggungjawab pendidikan memang bermula di rumah, namun kerajaan perlu menjadi sistem sokongan kepada ibu bapa agar pembentukan sahsiah dan disiplin anak-anak dapat dijalankan secara berkesan.

“Kita bukan mahu menyalahkan sesiapa. Cuma, ibu bapa perlukan sistem sokongan daripada kerajaan. Contohnya, keputusan kerajaan menghadkan pemilikan telefon bimbit kepada pelajar berumur 16 tahun ke atas adalah langkah yang baik.

“Ia membantu membentuk pelajar yang lebih berdisiplin dan tidak terlalu terdedah kepada maklumat tanpa kawalan,” jelasnya.

Mohd Afiq turut menyambut baik cadangan kerajaan untuk memperkenalkan subjek pembentukan sahsiah mulai tahun hadapan, yang menurutnya mampu menjadi benteng moral dan emosi kepada generasi muda dalam dunia digital serba terbuka.

“Kita kini berada dalam era yang kita sendiri tidak biasa. Anak-anak kecil diberikan gajet di restoran dan kita anggap itu normal. Tapi kita sendiri tak pasti sama ada ‘normal baharu’ ini baik atau buruk untuk mereka,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa penghapusan peperiksaan seperti UPSR dan PT3 tidak bermaksud sistem penilaian akademik dimansuhkan sepenuhnya.

“Kita ada Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) untuk murid Tahun 4 hingga Tingkatan 3. Ia sama seperti peperiksaan akhir tahun, cuma memberi fleksibiliti kepada guru untuk memilih soalan berdasarkan persekitaran pelajar masing-masing,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan tersebut lebih adil kepada pelajar di kawasan luar bandar.

Mohd Afiq turut menolak sistem penilaian berasaskan peperiksaan sepenuhnya kerana disifatkan memberi tekanan tidak wajar kepada pelajar dan tidak mengambil kira potensi individu.

“Kejayaan sistem pendidikan bukan hanya diukur melalui gred, tetapi melalui keupayaan melahirkan pelajar yang yakin, berdisiplin dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

“Kita ‘matikan’ potensi pelajar terlalu awal dengan sistem sedia ada. Contohnya, pelajar yang dapat 6B mungkin mempunyai potensi besar, cuma dia ‘late bloomer’.

“Tapi kita sudah letakkan dia di kelas bawah hanya kerana tiada A, sedangkan dia mungkin pelajar yang baik dan konsisten,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Sistem pendidikan negara memiliki asas yang baik namun berdepan cabaran dalam mengekalkan semangat guru dan keyakinan pelajar
  • Cabaran utama pendidikan bukan pada sistem tetapi pada pelaksanaan dan penerimaan oleh guru serta pelajar
  • Teknologi dalam pendidikan harus memudahkan beban guru tanpa menghilangkan semangat mengajar
  • Perlunya kestabilan dalam dasar pendidikan tanpa banyak perubahan dengan setiap pertukaran kepimpinan
  • Krisis keyakinan pelajar terhadap sistem pendidikan berdasarkan data hampir 50 peratus lepasan SPM tidak mahu melanjutkan pengajian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!