Muhyiddin pernah ditawar terajui Kerajaan Perpaduan selepas PRU15 – Marzuki

Marzuki
Marzuki
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah ditawarkan untuk membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) dan memimpin gabungan tersebut selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, bagaimanapun beliau memilih jalan sukar apabila terus mempertahankan dasar Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak bekerjasama dengan DAP.

“Selepas PRU15, beliau (Muhyiddin) ditawarkan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan PH.

“Saya tidak tahu apa isi kandungan tawaran itu. Beliau tidak pernah menceritakannya kepada saya tetapi menurut sumber rapat, jika Muhyiddin menerima tawaran tersebut, beliaulah Perdana Menteri.

“Pilihan ini betul dari segi prinsip, tetapi meletakkan Muhyiddin di haluan yang lebih sukar dari segi politik,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Ujar Marzuki, Muhyiddin sekali lagi memilih jalan sukar apabila ditawarkan untuk kembali memimpin UMNO sewaktu menjadi Perdana Menteri kelapan.

Menurutnya, jika tawaran tersebut diterima, perjalanan politik Ahli Parlimen Pagoh itu berkemungkinan menjadi lebih mudah.

“Jika beliau menerima tawaran ini, UMNO akan berada di bawah kawalannya dan tentu sekali tidak akan berlaku penarikan sokongan Ahli Parlimen UMNO terhadapnya.

“Beliau mahu Bersatu dan UMNO fokus kepada pilihan raya dahulu dan menang bersama. Yang lain-lain itu difikirkan kemudian.

Artikel Berkaitan:

“Jika tawaran ini diterima, beliau boleh kekal menjadi Perdana Menteri tanpa digugat oleh UMNO, tetapi parti Bersatu yang beliau sendiri asaskan mungkin akan terbubar,” ujarnya.

Kata Marzuki, pemilihan jalan sukar oleh Muhyiddin juga dapat dilihat susulan keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden parti sewaktu Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 dua tahun lalu.

Jelasnya, Muhyiddin juga pernah menghubunginya pada malam kejadian bagi bertanya mengenai pendirian yang dibuat olehnya.

“Saya jawab ringkas sahaja, ‘Beliau mesti berpegang pada keputusan sendiri’.

“Susulan desakan daripada perwakilan yang mahu kepimpinan Muhyiddin dalam Bersatu, akhirnya beliau akur untuk memimpin satu penggal lagi,” kata beliau. 

Ringkasan AI

  • Muhyiddin Yassin ditawarkan untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan selepas PRU15 tetapi menolak demi mempertahankan dasar Bersatu dan PN
  • Muhyiddin memilih untuk tidak bekerjasama dengan DAP walaupun tawaran tersebut membolehkannya menjadi Perdana Menteri
  • Beliau juga ditawarkan untuk kembali memimpin UMNO semasa menjadi Perdana Menteri kelapan, yang boleh memudahkan perjalanan politiknya tetapi menolak tawaran tersebut
  • Keengganan menerima tawaran tersebut didasari keinginan untuk mengutamakan kestabilan dan kemenangan Bersatu dan UMNO dalam pilihan raya
  • Muhyiddin memilih untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden Bersatu dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 namun akhirnya menerima untuk memimpin lagi selepas desakan perwakilan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!