Amanah gesa kerajaan kekal pertahan kedaulatan halal dalam perjanjian Malaysia-AS

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM – Sistem pensijilan halal Malaysia mesti kekal berdaulat dan tidak terjejas susulan termeterainya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan perlu berpendirian tegas supaya kedaulatan halal negara dipertahankan dengan mengekalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai badan berautoriti tunggal menentukan status halal produk makanan dan pertanian dari AS.

Beliau memberitahu, Malaysia hanya bersetuju untuk memperkemas prosedur import makanan dan pertanian, sekali gus bukan bermakna melonggarkan standard halal sedia ada.

"Amanah berpandangan bahawa isu halal perlu dilihat melalui lensa Siyasah Syar‘iyyah iaitu politik pentadbiran berasaskan hikmah dan maslahat.

"Dalam konteks itu, pemerintah wajib memastikan kemaslahatan ekonomi rakyat dapat dicapai tanpa menjejaskan prinsip syarak atau melonggarkan keperluan halal demi memenuhi perjanjian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mujahid menegaskan, standard halal Malaysia perlu kekal unggul dan yang terbaik di dunia, manakala setiap sijil halal asing ingin diiktiraf mesti melalui proses audit Jakim dan kekal di bawah senarai Foreign Halal Certification Bodies rasmi.

Menurutnya, Malaysia perlu mengekalkan dasar ‘Halal Sovereignty’, iaitu kawalan penuh terhadap label halal, sumber bahan mentah serta rantaian bekalan makanan yang masuk ke negara ini.

"Amanah turut mengalu-alukan langkah kerajaan menubuhkan Majlis Pematuhan Halal Nasional bakal melibatkan Jakim, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menilai sebarang isu teknikal berkaitan produk import dari Amerika," ujarnya.

Beliau berpandangan, inisiatif terbabit bukan sahaja menjaga kepercayaan umat Islam, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Hab Halal Global Dunia Islam.

Artikel Berkaitan:

Ujar Mujahid lagi, kerajaan turut dicadangkan memperkukuh industri halal melalui pendigitalan lebih agresif seperti Halal Digital Chain (HDC 2.0) berasaskan blockchain bagi tujuan kebolehcarian punca.

Katanya, langkah itu penting bagi menyaingi ketelusan undang-undang makanan Amerika serta menangani kekangan tenaga kerja dengan penggunaan teknologi terkini seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan sistem data pintar.

"Selain itu, Amanah mencadangkan akta keselamatan label halal secara khusus di bawah pengawasan Jakim digubal pada kadar segera supaya standard halal tidak dimanipulasikan, khususnya jika barangan import dari AS mula membanjiri pasaran negara," menurutnya.

Beliau menjelaskan, setakat ini, keselamatan penggunaan label halal hanya dikuatkuasakan melalui Akta Perihal Dagangan di bawah KPDN.

"Amanah menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam meluaskan hubungan ekonomi antarabangsa tetapi mengingatkan pada waktu sama supaya sentiasa memelihara kemaslahatan nasional khususnya kedaulatan halal dan maruah negara," kongsinya lagi.

Ringkasan AI

  • Sistem pensijilan halal Malaysia harus dijaga kedaulatannya walaupun ada ART dengan AS
  • Kerajaan diminta pertahankan Jakim sebagai badan autoriti tunggal status halal produk AS
  • Malaysia bersetuju memperkemas prosedur import tanpa melonggarkan standard halal
  • Mujahid menekankan pentingnya kemaslahatan ekonomi tanpa melonggarkan keperluan halal
  • Diusulkan perkuat industri halal melalui pendigitalan dan penggunaan teknologi terkini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!