Badan pensijilan halal luar negara tetap tertakluk standard halal Jakim

Kerajaan Malaysia melalui JAKIM tidak pernah berkompromi terhadap standard halal negara dan semua badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari AS. Gambar hiasan
Kerajaan Malaysia melalui JAKIM tidak pernah berkompromi terhadap standard halal negara dan semua badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari AS. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menangkis dakwaan bahawa Perkara 2.5 dan Perkara 2.6 dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia- Amerika Syarikat (AS) memberi ruang kepada campur tangan asing dalam urusan halal negara.

Beliau menegaskan, kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak pernah berkompromi terhadap standard halal negara dan semua badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari AS tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur, syariah dan standard halal Malaysia.

Menurutnya, Perkara 2.5 hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf oleh JAKIM bagi tujuan pentadbiran dan kelancaran proses kelulusan, namun semua proses pengauditan, pemantauan serta pengesahan akhir kekal di bawah kawalan jabatan itu.

“Bagi loji sembelihan yang menghasilkan produk daging dan ayam untuk dieksport ke Malaysia, kelulusan halal hanya diberikan selepas melalui pengauditan mengikut Malaysian Standard dan The Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Na’im berkata, pengauditan tersebut mesti dilaksanakan dengan kehadiran sekurang-kurangnya dua pegawai Syariah daripada badan pensijilan halal yang diiktiraf dan laporan audit itu akan diperakukan oleh Jawatankuasa yang dilantik oleh JAKIM.

Ujar beliau, pengiktirafan terhadap sijil halal dari Amerika Syarikat tidak bermaksud kelonggaran terhadap standard halal Malaysia, sebaliknya bertujuan mempercepat urusan pentadbiran bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.

“Semua produk import tetap tertakluk kepada audit JAKIM, pemantauan berkala serta peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011 bagi menjamin integriti dan ketelusan sistem halal negara,” jelasnya

Beliau menambah, mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang ingin mengekalkan status pengiktirafan oleh JAKIM mesti mematuhi sepenuhnya semua keperluan Malaysia termasuk aspek syariah, keselamatan, kebersihan dan prosedur audit tanpa sebarang pengecualian.

“Standard pensijilan halal Malaysia kekal utuh dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Na’im menjelaskan bahawa segala perjanjian antarabangsa yang ditandatangani Malaysia tertakluk kepada pemakaian peraturan sedia ada di dalam negara dan sebarang penambahbaikan hanyalah bagi mempercepat proses pentadbiran tanpa menjejaskan prinsip halal Malaysia.

“Selaras dengan prinsip 'dualist system', komitmen Malaysia di bawah perjanjian antarabangsa hanya berkuat kuasa setelah diterjemahkan ke dalam undang-undang domestik,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia kekal tegas mempertahankan kedaulatan dan keutuhan standard halal negara yang terus menjadi penanda aras global dan diterima pakai oleh banyak negara Islam serta bukan Islam di seluruh dunia.

Terdahulu Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat membangkitkan persoalan mengenai kelonggaran dalam perjanjian ART membabitkan aspek halal.

Nada sama disuarakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang merujuk satu klausa perjanjian yang berbunyi: “Malaysia hendaklah memperkemas prosedur untuk pensijilan halal bagi eksport makanan dan pertanian AS, sambil mengekalkan kuasa kawal selia domestik.”

 

Ringkasan AI

  • Menteri menangkis dakwaan Perjanjian Perdagangan Malaysia-AS mempengaruhi urusan halal negara
  • Kerajaan melalui JAKIM tidak berkompromi terhadap standard halal dan semua badan pensijilan halal luar tertakluk kepada prosedur Malaysia
  • Perkara 2.5 memperuntukkan penggunaan logo halal badan pensijilan yang diiktiraf oleh JAKIM tanpa mengganggu proses pengauditan dan pengesahan akhir
  • Pengauditan dan kelulusan halal untuk produk daging dan ayam dari AS dilakukan mengikut standard dan protokol Malaysia
  • Malaysia mempertahankan kedaulatan dan keutuhan standard halal yang menjadi penanda aras global

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!